KOTA KINABALU: Gangguan bekalan elektrik menjejaskan beberapa kawasan di Pantai Timur Sabah susulan insiden pada sistem penghantaran elektrik yang berlaku pada jam 6.04 pagi tadi.
Sabah Electricity dalam kenyataan media hari ini memaklumkan, pasukan teknikal sedang melaksanakan usaha pemulihan bekalan elektrik di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu secara berperingkat.
Bilik Gerakan turut diaktifkan bagi menyelaras tindakan pemulihan, manakala punca sebenar gangguan masih dalam siasatan.
Perkembangan terkini mengenai usaha pemulihan bekalan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sabah Electricity turut memohon maaf kepada pengguna atas segala kesulitan yang dialami akibat gangguan berkenaan.



