Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditahan berhubung kes sindiket penyeludupan dadah menggunakan aset tentera dikenal pasti berperanan sebagai pengangkut bekalan bahan terlarang itu dari Lembah Klang ke Sabah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Hussein Omar Khan berkata individu itu adalah antara anggota sindiket yang mempunyai peranan khusus, termasuk mengangkut bekalan dadah ke negeri itu.
“Selain menjadi koordinator, dia juga mengangkut bekalan dadah itu dari Lembah Klang ke Sabah,” katanya selepas program Lawatan Kebajikan dan Penyerahan Replika Cek Insurans Kelompok Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Tengah Geting, Pengkalan Kubor di Tumpat hari ini.
Hussein berkata siasatan awal mendapati dadah itu dibawa ke Labuan dan Tawau, namun polis tidak menolak kemungkinan terdapat destinasi lain yang turut menjadi sasaran sindiket berkenaan.
Beliau berkata sebanyak 13 individu ditahan setakat ini bagi membantu siasatan, terdiri daripada tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam.
Menurut Hussein, beberapa individu lain turut dikenal pasti mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan dan kedudukan mereka sedang dikesan.
Beliau berkata sindiket itu dipercayai mempunyai struktur tersendiri yang terdiri daripada ketua sindiket, penyelaras, pengangkut dan anggota lain, dengan 13 individu yang ditahan itu dipercayai sebahagian daripada rangkaian berkenaan.
Hussein ketika mengulas mengenai perkembangan siasatan berkata maklumat berhubung kemungkinan penggunaan aset tentera dalam kegiatan penyeludupan dadah itu diperoleh susulan tangkapan besar-besaran di Sabah yang membabitkan rampasan enam kontena di Pelabuhan Klang pada Januari.
“Kontena itu dipercayai mengandungi dadah untuk dihantar ke Teluk Sepanggar, Sabah.
“Polis memperoleh maklumat lebih kukuh pada Julai sebelum membuka kertas siasatan, diikuti tindakan risikan dan pemantauan sehingga membawa kepada insiden terbaharu di Subang,” katanya.
Minggu lepas, polis membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah menggunakan kemudahan pengangkutan ketenteraan dalam operasi di Lembah Klang dan Labuan.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin memaklumkan penahanan 13 individu itu susulan penemuan dadah yang disembunyikan di dalam lima bagasi dan sebuah kotak di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, Selangor.
Dadah itu dikesan menerusi pemeriksaan rutin terhadap barangan sebelum dimuatkan ke dalam pesawat TUDM dan kejadian itu adalah kes pertama seumpamanya berjaya dipatahkan menerusi prosedur pemeriksaan berkenaan.
– Bernama



