PENAMPANG: Dua lelaki warga tempatan berusia 30 dan 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki berusia 24 tahun di Putatan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kedua-dua suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Penampang dengan bantuan anggota Balai Polis Putatan di Kampung Dumpil, Putatan, kira-kira jam 6.30 pagi hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlibat dalam pergaduhan di hadapan sebuah premis perniagaan di Putatan pada 24 November lalu sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada awal pagi keesokan harinya.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 26 November hingga 2 Disember bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sammy, motif kejadian serta punca kematian mangsa masih dalam siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, sekurang-kurangnya 12 sebatan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi IPD Penampang atau hadir ke balai polis berhampiran.
“Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi memastikan kelancaran siasatan,” tegasnya.



