KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Negeri Sabah untuk menyediakan biasiswa kepada anak Sabah yang mengikuti pengajian perubatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Naib Canselor UMS Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly berkata, biasiswa itu diyakini dapat membantu meringankan beban kewangan pelajar yang layak selain menyokong usaha Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 untuk melahirkan lebih ramai doktor bagi memenuhi keperluan negeri.
“Saya mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Negeri Sabah untuk menyediakan biasiswa kepada anak Sabah yang mengikuti pengajian perubatan di UMS.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah meluluskan pengambilan sehingga 150 pelajar perubatan setahun.
“Sebagai langkah awal, UMS telah meningkatkan pengambilan daripada 90 kepada 100 pelajar setahun,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Semalam, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kerajaan Negeri Sabah bersedia untuk menyediakan biasiswa khas kepada anak negeri yang layak melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di UMS sebagai usaha jangka panjang melahirkan lebih ramai doktor tempatan.
Katanya, inisiatif itu merupakan antara langkah yang akan diberi perhatian kerajaan bagi menangani isu kekurangan doktor di Sabah.
Menurut Masidi, usaha melahirkan lebih ramai doktor dalam kalangan anak Sabah dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang berikutan kekangan mendapatkan doktor dari Semenanjung untuk berkhidmat di negeri ini.
Rosalam berkata, pihaknya akan menambah pengambilan secara berfasa mengikut kapasiti latihan klinikal supaya setiap pelajar mendapat tempat latihan, penyeliaan dan peluang belajar bersama pesakit dalam setiap disiplin utama.
Katanya, Hospital UMS juga sedang memperluas perkhidmatannya sebagai hospital pengajar secara berfasa.
“Apabila beroperasi sepenuhnya, insya-Allah Hospital UMS dapat menyediakan lebih banyak tempat latihan klinikal. UMS juga akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk menyelaras penempatan dan penyeliaan pelajar di hospital dan klinik KKM.
“UMS kini menawarkan latihan kepakaran dalam Perubatan Kesihatan Awam, Perubatan Kecemasan dan Anestesiologi.
Program latihan kepakaran dalam Perubatan Rehabilitasi, Ortopedik, dan Perubatan Keluarga pula kini di peringkat akhir pembangunan,” katanya.
Beliau turut berhasrat agar lebih ramai anak Sabah berpeluang belajar perubatan dan meneruskan latihan kepakaran di negeri sendiri, seterusnya berkhidmat kepada rakyat Sabah. – SABAH MEDIA



