Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Orang ramai khususnya pembayar zakat di negeri ini diingatkan supaya menyalurkan bayaran zakat terus kepada Majlis Ugama Islam Sabah atau pihak yang diberi kuasa.
Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad berkata, langkah itu adalah bagi mengelakkan pembayaran dibuat kepada individu atau organisasi yang tidak mendapat kebenaran.
Beliau berkata, tindakan membayar zakat kepada pihak yang tidak diamanahkan atau dilantik oleh MUIS merupakan satu kesalahan berdasarkan enakmen berkaitan pengurusan zakat di negeri ini.
Menurutnya, Majlis Fatwa Negeri Sabah juga telah mengeluarkan fatwa berhubung perkara itu, termasuk menetapkan bahawa pembayaran zakat kepada pihak tidak dilantik MUIS tidak diterima dari sudut syarak.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati, terutama apabila terdapat pihak yang didakwa berada di Sabah bagi mengutip zakat tanpa kebenaran MUIS.
“Kami difahamkan mereka sedang berada di Sabah untuk mengutip zakat tanpa kebenaran Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Ini menjadi satu kesalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima pembayaran zakat perniagaan daripada McDonald’s berjumlah RM100,000 bagi haul 2026, di sini.
Mengulas tindakan terhadap pihak yang melakukan kutipan tanpa kebenaran itu, beliau berkata MUIS ketika ini mengutamakan pendekatan dakwah dan memberi kesedaran kepada pembayar zakat sebelum mengambil tindakan undang-undang.
Katanya, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan masyarakat, khususnya golongan peniaga, memahami kedudukan serta saluran pembayaran zakat yang ditetapkan di Sabah.
“Jadi kadang-kadang kalau kita ambil tindakan terus melalui undang-undang secara agresif, memang wajar juga, tetapi biarlah kita berikan kesedaran dulu,” katanya.
Beliau berkata, usaha memberi penerangan menerusi media dan saluran lain turut membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan peniaga mengenai kepentingan menyalurkan zakat melalui saluran yang sah. – SABAH MEDIA



