HomeUtamaASEAN lancar tiga inisiatif tarik pelaburan mineral

ASEAN lancar tiga inisiatif tarik pelaburan mineral

Read Time:1 Minute, 56 Second

KUALA LUMPUR: ASEAN melancarkan tiga inisiatif bagi memperkukuh usaha menarik pelaburan dalam sektor mineral serantau, termasuk menyediakan platform padanan perniagaan, panduan pembangunan projek dan akses digital kepada peluang pelaburan.

Inisiatif berkenaan ialah Forum Pelaburan Mineral ASEAN (AMVest), Kit Panduan ASEAN bagi Projek Mineral Sedia Pelaburan (IRMP) dan platform digital ASEAN Minerals Connect (AMConnect).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata ketiga-tiga inisiatif itu bertujuan memudahkan pelabur mengenal pasti peluang, membantu pemilik projek menyediakan maklumat yang diperlukan serta menghubungkan mereka dengan syarikat dan pembiaya berpotensi.

“AMVest menyediakan platform kepada kerajaan, pemilik projek, syarikat perlombongan, pengilang dan institusi kewangan untuk meneroka peluang kerjasama melalui sesi padanan perniagaan serta pameran projek.

“Platform itu membolehkan pemilik projek memahami keperluan pelabur sebelum sesuatu cadangan menjalani penilaian teknikal dan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Mineral (AMMin) Ke-11 dan Forum Pelaburan Mineral ASEAN (AMVest) 2026 di sini, hari ini.

Sementara itu, Arthur berkata, IRMP memberi tumpuan kepada persediaan projek sebelum dipromosikan kepada pelabur, termasuk maklumat mengenai potensi sumber, kaedah pemprosesan, anggaran kos pembangunan, keperluan infrastruktur, pasaran sasaran serta risiko alam sekitar dan peraturan.

Katanya, panduan itu membantu pemilik projek mengenal pasti maklumat yang perlu dilengkapkan bagi meningkatkan tahap kesediaan projek untuk dinilai oleh pembiaya.

“AMConnect pula akan menyediakan akses kepada maklumat dan peluang projek mineral di seluruh ASEAN, dengan pembangunan platform itu mendapat sokongan Bank Dunia.

“Maklumat berkaitan daripada Sistem Maklumat Mineral ASEAN (AMIS) akan disepadukan ke dalam AMConnect bagi memanfaatkan data serantau sedia ada, manakala negara anggota mengekalkan kawalan terhadap penerbitan data, tadbir urus dan kemas kini platform,” katanya.

Menurutnya, Malaysia, Indonesia dan Vietnam dikenal pasti sebagai tiga negara perintis fasa pertama pelaksanaan IRMP pada 2026.

“Bengkel pembinaan kapasiti di ketiga-tiga negara dengan sokongan teknikal Bank Dunia dan penyelarasan Sekretariat ASEAN membantu mengenal pasti jurang dalam penyediaan projek serta menghimpunkan pengalaman setiap negara.

“Dapatan fasa perintis akan digunakan bagi membangunkan dan mengesahkan kit panduan serantau pada 2027 sebelum pelaksanaannya diperluas ke seluruh ASEAN,” katanya.

Tambah Arthur, AMVest turut ditetapkan sebagai forum pelaburan mineral tahunan ASEAN yang diadakan bersempena mesyuarat menteri, susulan penerimaan terma rujukannya oleh pegawai kanan ASEAN.

“Forum itu bermula pada 2024 sebagai platform pertukaran pandangan dasar sebelum diperluas pada 2025 dengan dialog peringkat tinggi menteri,” ujarnya.

AMMin Ke-12 dan AMVest 2027 dijadual berlangsung di Singapura.

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

ASEAN perlu perkukuh industri hiliran mineral kritikal – Arthur

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular