HomeUtamaAtlet, Persatuan Sukan Sabah Terima Insentif dan Geran Tahunan dari KBSS

Atlet, Persatuan Sukan Sabah Terima Insentif dan Geran Tahunan dari KBSS

Read Time:3 Minute, 9 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Atlet-atlet sukan yang melakar kejayaan dan persatuan-persatuan sukan negeri hari ini mendapat ganjaran insentif dan Geran Tahunan daripada Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS).

Menteri KBSS Datuk Ellron Angin berkata, semua penggiat sukan negeri dapat menarik nafas lega kerana sebahagian besar sektor sukan telah dibuka semula dengan kaedah pelaksanaan norma baharu dan had jumlah yang terlibat selepas dua tahun semua aktiviti sukan terhenti akibat penularan pandemik COVID-19.

“Selaku menteri, saya berharap semua penggiat sukan khususnya Persatuan Sukan Negeri dapat terus bersabar dan memberi kerjasama kepada kerajaan dalam usaha membendung jangkitan virus Covid-19 ini sepenuhnya,”katanya semasa Majlis Amanat, Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan 2020/2021 dan Geran Tahunan Persatuan Sukan Sabah 2022 bersempena Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2022 di sini, pada Selasa.

Menurut Ellron, sekalipun sudah hampir dua tahun persatuan-persatuan sukan tidak mempunyai program besar yang dianjurkan, namun semua persatuan sukan di bawah naungan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah harus bersyukur, kerana tiada pengurangan peruntukan untuk tahun 2022.

Bagaimanapun, persatuan-persatuan sukan naungan MSN Sabah terus menikmati jumlah peruntukan yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya, namun begitu, sudah tentu peruntukan ini hanya boleh diguna berdasarkan permohonan berlandaskan program-program yang
dianjur.

Ellron turut menyatakan pada tahun ini, Kementerian Belia dan Sukan Sabah melalui MSN Sabah juga memperkenalkan Skim Pembayaran Gaji / Elaun yang lebih baik dan sistematik kepada jurulatih-jurulatih negeri Sabah.

“Penetapan skim ini mengikut kepada tahap kelulusan Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) dan Persijilan Sukan Spesifik setiap jurulatih. Selain itu, pertimbangan juga diberikan kepada jurulatih yang telah menunjukkan mutu kejurulatihan terbaik khususnya dalam melahirkan atlet-atlet yang berjaya memenangi pingat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Oleh itu, Sukan Malaysia atau SUKMA merupakan salah satu platform baik untuk menilai prestasi jurulatih-jurulatih negeri ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, kementerian ini juga akan melaksanakan Penilaian Penarafan Bintang atau `Star Rating’ keatas semua persatuan-persatuan sukan naungan Majlis Sukan Negeri Sabah. Sehingga hari ini, terdapat 53 persatuan yang menerima geran tahunan dari Kementerian ini.

Katanya, pelaksanaan Star Rating ini bertujuan untuk melihat secara teliti aspek keorganisasian, perancangan program, pelaksanaan program dan juga pencapaian persatuan pada keseluruhannya.

Sejajar itu, beliau berharap semua persatuan dapat memberikan yang terbaik dan bukan sekadar duduk memanaskan kerusi jawatan yang disandang. Saya sedar, semua pegawai dalam persatuan merupakan sukarelawan, tetapi jika tidak dapat melaksanakan tanggungjawab, adalah lebih baik jawatan itu dilepaskan dan diisi oleh mereka yang lebih komited.

Kerajaan kita juga telah meluluskan kadar bayaran Insentif Kemenangan yang baru kepada atlet yang telah berjaya mengharumkan nama Negara dan Negeri.

“Kadar bayaran insentif telah dinaikan sedikit sebanyak jika dibandingkan dengan tahun-tahun yang lalu, dengan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

‘Dengan kelulusan ini, Kementerian berharap, Insentif Kemenangan ini akan menguatkan lagi semangat atlet-atlet negeri ini untuk berlatih dengan lebih gigih dan membawa pulang lebih banyak pingat khususnya pingat emas di kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Impian Sabah untuk memenangi 40 pingat emas di SUKMA juga masih belum tercapai. Oleh itu, marilah kita berganding bahu merealisasikan hajat besar Sabah ini di temasya sukan terunggul negara ini,”ujarnya.

Ellron dalam amanat yang disampaikan turut menyentuh mengenai pembangunan belia dan beliawanis melalui aktiviti sukan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan dalam membentuk sahsiah masyarakat yang harmoni, bertoleransi dan bersatu-padu.

“Kerajaan dalam memastikan atlet-atlet negeri ini mengejar kejayaan dalam sukan, juga tidak pernah mengabaikan kepentingan akademik mereka. Kerajaan mahu atlet Sabah bukan sahaja berjaya dalam sukan, tetapi juga mempunyai intelektual, pendidikan atau pengetahuan yang baik, “A Thinking Athlete”.

“Dalam erti kata, pembangunan sukan dan akademik atlet perlu seimbang, ini akan memastikan masa depan yang lebih terjamin kerana kita tidak boleh menjadi atlet sepanjang hidup kita, tetapi dengan adanya pengetahunan yang baik, ditambahkan dengan kebolehan bersukan, sudah tentu masa depan anak-anak kita akan lebih terjamin apabila memasuki alam bekerja,” tambahnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular