COVID-19 : 6 Kluster Pendidikan Direkodkan Dalam Tempoh Lebih Seminggu Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU : Sabah merekodkan satu lagi kluster membabitkan jangkitan dalam Institusi Pendidikan pada hari ini iaitu yang keenam dilaporkan dalam tempoh lebih seminggu sejak 16 Januari lalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Jalan Sri Balung yang dikesan di Tawau membabitkan kes indeks seorang pelajar asrama lelaki tingkatan 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung.

Katanya, kluster itu tercetus selepas kes indeks mula bergejala pada 19 Januari lalu dan kemudian menjalani saringan di klinik kesihatan sebelum disahkan positif.

“Kes indeks mula bergejala pada 19 Januari lalu dan  kemudiannya menjalani saringan di klinik kesihatan sebelum disahkan positif melalui COVID-19 RTK Ag pada 21 Januari 2022.

“Saringan keatas kontak rapat mendapati 17 orang lagi pelajar didapati positif menjadikan jumlah yang terlibat seramai 18 orang setakat ini.

“Kesemua pelajar yang dijangkiti adalah dalam Kategori 1 dan 2 dan telah diasingkan serta diberi rawatan yang sesuai,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata, kes jangkitan COVID-19 di Sabah hari ini melonjak lebih dua kali ganda daripada jumlah semalam iaitu sebanyak 314 kes berbanding hanya 118 kes semalam.

Katanya, ini merupakan pertambahan 196 kes daripada jumlah sebelumnya.

“Empat daerah mencatatkan angka jangkitan baharu yang agak tinggi iaitu Sandakan 68 kes (+56), Kota Kinabalu 61 kes (+44), Beaufort 39 kes (+31) dan Tuaran 34 kes (+19).

“Secara keseluruhan, terdapat sembilan daerah mencatat kes baharu dua angka, 14 daerah dengan catatan satu angka dan empat daerah tidak merekodkan apa-apa kes baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, berdasarkan laporan dan statistik harian Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), punca kenaikan mendadak kes-kes baharu hari ini disebabkan bilangan saringan positif yang tinggi dikalangan kontak rapat dan kes-kes baharu daripada kluster aktif.

Katanya, sebanyak 64 kes baharu hari ini datang daripada kluster-kluster dan 143 kes pula adalah dikalangan kontak rapat.

“Sebanyak 312 daripada 314 kes baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2; dua kes dalam Kategori 3 dan tiada pesakit dalam Kategori 4 dan 5,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *