KPM Mahu Jadikan IPG Keningau Sebagai Hab Latihan Guru Di Pedalaman

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 6 Second

KENINGAU : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mahu menjadikan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau sebagai hab latihan kepada para guru bagi kawasan pedalaman khususnya di Sabah.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohd Alamin berkata, ia bersesuaian dengan suasana persekitaran yang dipenuhi dengan kepelbagaian budaya etnik di negeri ini.

“Pada hari ini (semalam) saya mengadakan lawatan kerja di IPG Kampus Keningau dimana kita telah menerima beberapa saranan dan pandangan daripada IPG bagaimana untuk menaiktaraf kampus ini dan sudah tentu diperingkat kementerian kita akan pertimbangkan.

“Kita juga mahu menjadikan IPG Kampus Keningau ini sebagai hab latihan para guru untuk kawasan pedalaman dan saya amat gembira dimana kampus ini dapat mengadaptasi konsep latihan mereka dengan suasana persekitaran yang dipenuhi kepelbagaian budaya etnik di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Kolej Vokasional Keningau disini semalam.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, KPM turut komited untuk membela dan menitikberat pembangunan dan pembelajaran murid-murid berkeperluan khas (MBK) di seluruh negara.

Katanya, menerusi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) juga akan turut membolehkan MBK mengikuti pembelajaran mereka termasuk menggunakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

“KPM juga turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memberi peluang dan ruang yang lebih banyak untuk mereka agar tidak ketinggalan dibelakang.

“Sudah tentu KPM akan terus membela nasib mereka khususnya dalam pembelajaran selain komited terhadap keperluan MBK di Malaysia,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *