Parti Baharu Pimpinan Peter Diumum Dalam Masa Terdekat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 22 Second

TENOM : Bekas Naib Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Peter Anthony berkata, parti baharu di bawah pimpinannya akan diumumkan dalam tempoh masa terdekat.

Katanya, pada ketika ini terdapat beberapa proses perlu diselesaikan dan dimuktamadkan sebelum pihaknya mengadakan jelajah ke seluruh bahagian.

“Beberapa minggu lalu parti ini berjaya didaftarkan dan mudah-mudahan kita berdoa supaya minggu depan selesailah atau minggu berikutnya selesai.

“Apabila semua sudah selesai, kita akan adakan mesyuarat agung tahunan dulu sebelum ‘roadshow’ dan kita akan buat pelancaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media  selepas Majlis Pra-Pelancaran dan Santai Bersama Masyarakat Tenom disini hari ini.

Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, partinya itu sebelum ini telahpun diluluskan namun perlu melalui penjenamaan semula dan dijangka mengambil sedikit masa diperingkat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Parti yang pertama dahulu memang sudah diluluskan cumanya perlu sedikit penelitian dan pindaan daripada teknikal di peringkat ROS.

“Tetapi saya percaya kita boleh umumkan mengenai parti baharu ini dalam masa terdekat.. Apa yang penting parti ini nanti adalah sebuah parti pelbagai bangsa tanpa mengira agama, kaum dan budaya, semua boleh sertai,” katanya.

Terdahulu, Peter berkata, pihaknya yakin parti di dalam kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memahami mengenai sokongan yang diberikan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Saya rasa beliau tahu dan mereka faham.  Tujuan dan niat kita murni untuk bekerjasama di peringkat kerajaan negeri Sabah.

“Begitu juga pemimpin-pemimpin negeri Sabah.  Kita ke arah itu,” katanya.

Pada 28 Disember tahun lalu, Peter mengumumkan keluar Warisan dan mengumumkan menubuhkan parti baharu berasaskan pelbagai kaum selain menyatakan sokongan kepada kerajaan GRS.

Turut mengikut jejak beliau ADUN Limbahau Datuk Juil Nuantim.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *