HomeUtamaSelami Semangat Dan Jiwa Pemimpin-Pemimpin Terdahulu

Selami Semangat Dan Jiwa Pemimpin-Pemimpin Terdahulu

Read Time:1 Minute, 29 Second

NABAWAN : Golongan belia diingatkan untuk sentiasa menjiwai dan menghargai semangat perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu yang sanggup berkorban demi membawa kemajuan dan pembangunan masyarakat khususnya di kawasan pedalaman.

Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, generasi hari ini perlu membaca serta mendalami sejarah kehidupan sebelum dan selepas merdeka sekaligus mempertahankan nikmat kemerdekaan negara.

Katanya, ianya juga akan dapat mengeratkan perpaduan kaum demi kemakmuran serta keamanan yang tidak dinikmati rakyat negara lain di dunia.

“Jasa pemimpin terdahulu seperti OKK Datuk Said Besar Sigoh Singkunan yang telah membuka Kampung Dua (Kampung Ria) pada awal tahun 1969 telah membolehkan pengwujudan penempatan yang lebih terancang disamping membawa kemajuan kepada kawasan setempat khususnya bagi masyarakat suku kaum Murut.

“Selain itu, memahami dan menghayati sejarah Negara, Rukun Negara, Perlembagaan Persekutuan, lagu Negaraku serta menghormati Jalur Gemilang juga merupakan langkah pertama yang harus diambil oleh setiap individu bagi menerapkan identiti nasional dalam diri masyarakat seterusnya membina kelestarian insan demi kelangsungan negara Malaysia di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Tugu Peringatan OKK Datuk Haji Said Besar Sigoh Bin Singkunan di Bukit Tampanon, Kampung Tiga (Malinja), disini hari ini.

Arthur yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, sebagai Keluarga Malaysia yang cintakan negara dan tanah air, adalah wajar bagi semua untuk mengenang jasa pemimpin-pemimpin negara yang telah banyak berkorban menyumbang bakti dan jasa demi kepentingan rakyat.

Katanya, projek menaik taraf kawasan pelancongan tugu peringatan tersebut akan menjadi salah satu daya tarikan aktiviti pelancongan di daerah Nabawan selain kawasan tumpuan pelancong seperti Batu Kakoum, Batu Punggul dan Malaiu Basin.

“Selain menaik taraf kawasan pelancongan, sebanyak sembilan projek yang berteraskan rakyat akan dilaksanakan dalam masa terdekat di Daerah Nabawan antaranya pembaikan Dewan Terbuka, bina baru Balai Raya, bina baru jalan konkrit dan jambatan gantung yang memberi manfaat kepada penduduk di kawasan tersebut,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan Potong Berakhir Tragedi: Isteri Pemandu Maut di Lokasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular