HomeUtamaPenerbangan terus Kota Kinabalu-Kuala Terengganu rancakkan industri pelancongan dua negeri

Penerbangan terus Kota Kinabalu-Kuala Terengganu rancakkan industri pelancongan dua negeri

Read Time:1 Minute, 29 Second

BERNAMA

KUALA NERUS, 30 Jan  — Industri pelancongan Terengganu dan Sabah dijangka bertambah rancak susulan pelaksanaan perkhidmatan penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke Kota Kinabalu melalui kerjasama kerajaan negeri dengan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman berkata laluan penerbangan itu diharap dapat membantu kerajaan negeri mencapai sasaran ketibaan tiga juta pelancong tahun ini.

Beliau berkata buat permulaan, waktu dan masa penerbangan pesawat AirAsia bagi laluan Kuala Terengganu-Kota Kinabalu dijadualkan sekali seminggu iaitu pada setiap Ahad.

“Terima kasih kepada AirAsia kerana memilih Terengganu sebagai antara laluan baharunya kerana ia membantu memeriahkan lagi industri pelancongan domestik selain menyediakan lebih banyak pilihan kepada pelancong tempatan atau antarabangsa untuk melancong di Malaysia.

“Kerajaan negeri juga telah membuat permohonan serta mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tan Sri Tony Fernandes untuk AirAsia menambah laluan baharu dari Kuala Terengganu ke Kuching di Sarawak, Pulau Pinang dan mengembalikan semula penerbangan dari Senai, Johor,” katanya.

Ariffin berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut penerbangan sulung AK 5310 yang membawa 59 penumpang di sini hari ini.

Pesawat itu berlepas dari Kota Kinabalu pada 3.15 petang dan tiba di Kuala Terengganu pada 5.20 petang. 

Ketua Komersial AirAsia Nur Liyana Mahizzan pula berkata syarikat itu memilih Terengganu kerana mendapat permintaan yang tinggi dan akan mempertimbang permohonan negeri untuk menambah laluan ke destinasi lain.

“Ketika ini, AirAsia menawarkan tambang promosi sehala untuk tempahan daripada serendah RM128 sahaja dari sekarang hingga 14 Feb depan untuk tempoh perjalanan dari 13 Feb hingga 30 Sept tahun ini.

“Selain laluan Kota Kinabalu-Kuala Terengganu, AirAsia telah melancarkan laluan baharu Kuching-Langkawi, Johor Bahru-Bintulu dan Pulau Pinang-Sibu pada awal bulan ini untuk memacu pelancongan domestik,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan Sabah sedia pelbagai bantuan pendidikan, pastikan rakyat mampu bersaing

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular