PICKids : 23,578 Kanak-Kanak Berdaftar Terima Vaksin Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU : Seramai 23,578 orang kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun di seluruh negeri sudah didaftarkan melalui aplikasi MySejahtera untuk menerima vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, pemberian vaksin untuk kanak-kanak itu telah dimulakan di lima buah hospital pakar di Sabah.

Katanya, lima hospital pakar itu ialah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Hospital Dushess of Kent Sandakan, Hospital Keningau, Hospital Lahad Datu dan Hospital Tawau.

“Perluasan pemberian vaksin kanak-kanak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan terus ditingkatkan di seluruh Sabah bermula esok iaitu 5 Februari 2022.

“Pihak JKNS juga masih terus menyediakan 251 buah fasiliti kesihatan PPV di Sabah yang terdiri daripada hospital serta klinik kerajaan dan swasta bagi menyediakan perkhidmatan pemberian vaksin samada booster, vaksin kanak-kanak, dos kedua dan dos pertama,” katanya dalam kenyataan disini semalam.

Dr Rose Nani berkata, ibu bapa dan penjaga digesa untuk mendaftarkan kanak-kanak dalam jagaan masing-masing melalui aplikasi MySejahtera menggunakan dokumen MyKid ataupun Sijil Kelahiran.

Katanya, pelaksanaan PICKids di Sabah akan dibuat melalui ‘walk-in’, PPV Awam, ‘offsite PPV’, aktiviti outreach ke kawasan pedalaman dan mengikut sekolah dalam daerah.

“Pemberian vaksin adalah percuma kepada warganegara Malaysia dan bukan warganegara,” katanya.

Sementara itu, Dr Rose Nani berkata, Ibu bapa dan penjaga disarankan agar memastikan anak-anak yang dibawa mendapatkan vaksin agar mengambil makanan sebagai alas perut sebelum di vaksin.

Katanya, kanak-kanak tersebut perlu memakai baju lengan atau seluar yang boleh lipat dengan mudah kerana suntikan diberi pada lengan atas atau di bahagian paha.

“Pihak JKNS menasihatkan ibubapa dan penjaga memberi ubat paracetamol kepada anak anak jika mengalami demam selepas vaksinasi dengan dos mengikut berat badan (15mg/kg/ per body weight),” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *