SPRM akan siasat dakwaan isu integriti pegawai kanan MARA

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:55 Second

CYBERJAYA — SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius dakwaan wujudnya isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi tersebut.

Melalui satu kenyataan media, SPRM berkata, pihaknya telah menerima satu aduan berkaitan isu ini dan akan memulakan siasatan pada 7 Februari 2022 (Isnin) dengan mengambil keterangan beberapa saksi daripada MARA Corporation.

Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata, mereka akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlakunya salah laku melibatkan integriti beberapa pegawai dalam institusi itu.

Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata, pihaknya menafikan wujudnya salah guna kuasa atau salah urus tadbir dalam isu berkenaan.

“MARA memandang serius terhadap kejadian penyebaran dokumen pentadbiran dalaman kepada pihak awam yang telah menimbulkan persepsi negatif terhadap MARA dan anak syarikat berkaitan.

“Pihak MARA telah pun memulakan siasatan lanjut di MARA Corporation Sdn. Bhd. (MARA Corp) bagi meneliti dokumen-dokumen berkaitan untuk memastikan pengurusan syarikat sentiasa berlandaskan tadbir urus yang baik,” katanya

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *