HomePolitikSrikandi BERSATU Sabah Sokong GRS Perlu Dipertahankan

Srikandi BERSATU Sabah Sokong GRS Perlu Dipertahankan

Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU : Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah menyambut baik kenyataan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengenai kedudukan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang perlu dipertahankan.

Ketua Srikandi BERSATU Sabah Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, beliau percaya dan yakin perkara itu mampu dicapai meskipun kerajaan yang dibentuk terdiri daripada pelbagai parti yang berbeza perjuangan.

Katanya, meskipun berbeza, GRS perlu terus bekerja sebagai satu pasukan gabungan demi memenuhi aspirasi rakyat di Sabah.

“Rakyat telah meletakkan kepercayaan serta aspirasi yang tinggi kepada kerajaan yang ada hari ini.

“Justeru kita perlu menghargai kepercayaan tersebut dengan kesungguhan bekerja untuk memajukan Sabah.

“Usaha itu bukan sahaja mampu menstabilkan politik dan kerajaan Sabah tetapi juga mampu membantu melonjakkan lagi perkembangan ekonomi dan kemajuan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan Kursus IT Srikandi Bersatu Sabah di sini semalam.

Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berharap dengan adanya GRS yang sah bukan sahaja melancarkan gerak kerja kerajaan tetapi juga gerak kerja parti yang akan bekerja mendekati rakyat serta menyelesaikan pelbagai isu rakyat.

Katanya, Srikandi Sabah mahu gabungan ini menjadi satu gabungan yang kuat dan erat bekerja demi Sabah.

“Masa depan rakyat Sabah bergantung kepada kerajaan yang kuat dan stabil. Itu yang menjadi asas kepada kelancaran pentadbiran dan pembangunan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Azizah berkata, seluruh kepimpinan sayap Srikandi Bersatu diminta lebih peka dengan isu golongan muda yang bakal keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, mereka perlu mendekati dan lebih kerap turun padang menemui golongan tersebut bagi memahami kehendak dan keperluan generasi berkenaan secara nyata.

Tambahnya, usaha itu perlu dilakukan secara berterusan dan bukannya secara bermusim terutama ketika menjelang pilihan raya.

“Pengundi muda yang berumur 18 tahun ke atas yang didaftarkan secara automatik harus kita dekati. Kita mesti merencana strategi memikat hati pengundi-pengundi muda ini.

“Saya berharap biro Srikandi Muda Sabah akan mengambil peranan dan merancang program ke arah menarik minat anak muda ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Politik

Pemuda Gagasan Rakyat sedia hadapi PRN-17

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular