HomeUtamaPembukaan Semula Sempadan Negara Bantu Pulih Industri Pelancongan

Pembukaan Semula Sempadan Negara Bantu Pulih Industri Pelancongan

Read Time:1 Minute, 20 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah menyokong penuh cadangan bagi membuka semula pintu masuk sempadan negara secara sepenuhnya pada 1 Mac depan.

Menteri Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata, pembukaan sempadan negara itu juga perlu diikuti dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dibendung.

“Pembukaan sempadan negara perlu dilakukan secepat mungkin memandangkan Sabah memerlukan pasaran antarabangsa untuk memulihkan sektor pelancongan.

“SOP yang ketat juga perlu disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seterusnya diperincikan dengan lebih jelas kepada pemain industri bagi memastikan  mereka bersedia sebelum pembukaan sempadan negara dibuka kelak,” katanya dalam kenyataan disini semalam.

Beliau berkata, kementerian juga bersedia untuk mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak termasuk pemain industri dalam membuat persediaan awal sekaligus merangka kempen promosi dan pemasaran bagi memastikan pelancong luar negara menjadikan Sabah sebagai destinasi pilihan utama mereka.

Sementara itu, Jafry berkata, pelancong luar yang mahu ke Sabah disarankan untuk mengambil pelan perlindungan insurans untuk pelancong yang meliputi kos perubatan dan kemasukan ke hospital akibat kemalangan dan penyakit termasuk jangkitan COVID-19.

“Matlamat sekarang ini adalah kita mahu membuka sempadan agar industri pelancongan akan terus hidup dalam masa sama memastikan agar penularan COVID-19 dapat dikawal.

“Sehingga kini, kerajaan negeri hanya membenarkan aktiviti pelancongan domestik sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Jafry berkata, Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia- Singapura (VTL) juga masih diperingkat perbincangan dan belum dilaksanakan di negeri Sabah.

“Kita perlu bersama-sama berganding bahu dan bekerja sebagai satu pasukan demi mencapai matlamat memulihkan industri pelancongan dan kembali menjadi antara penyumbang utama ekonomi di negeri ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Implikasi dan Cabaran Malaysia Sebagai Pasaran Pusat Data Ketiga Terbesar Asia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular