KOTA KINABALU : Empat pasukan bakal berentap dalam kejohanan empat penjuru bagi merebut Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2022 yang akan bermula esok sehingga 18 Februari ini.
Kejohanan itu akan disertai Sabah FC; Kedah Darul Aman (KDA) FC; Kelantan FC dan Sarawak United FC yang akan berlangsung di Stadium Likas.
Pengarah Teknikal Sabah FC, Scott Ollerenshaw berkata, kejohanan itu juga merupakan satu langkah proaktif pasukan Sabah FC bagi menjimatkan kos untuk membuat perlawanan pra-musim tanpa perlu ke luar negeri mahupun negara yang memerlukan kos tinggi.
Katanya, menerusi kejohanan itu juga diharap akan dapat dijadikan sebagai acara tahunan dengan menampilkan beberapa kelab-kelab hebat di negara ini.
“Sudah pasti kita mengharapkan kejohanan seperti ini akan dapat diteruskan pada masa hadapan sekaligus ianya akan dapat meningkatkan industri sukan pelancongan di Sabah yang cukup terkenal dengan beberapa destinasi menarik.
“Selain itu juga kita mahu memberi peluang kepada peminat bola sepak di Sabah untuk mereka menyaksikan lebih dekat penampilan dan kemampuan pemain Sabah FC dalam pra musim ini,” katanya dalam sidang media disini semalam.
Hadir sama, Pegawai Perlesenan Kelab Sabah FC, Rydwan Soeharto.
Scott berkata, Sabah FC pada musim ini turut dibarisi muka baharu dan ternama yang bakal beraksi dalam Liga Malaysia yang akan bermula awal Mac depan.
Katanya, kejohanan ini juga akan dapat melihat keserasian pemain sekaligus memberi persediaan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia.
Sementara itu, Pegawai Perlesenan Kelab Sabah FC, Rydwan Soeharto berkata, pihaknya akan sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkenaan demi keselamatan kesihatan awam khususnya membabitkan situasi terkini pandemik COVID-19 yang menunjukkan trend peningkatan di negeri ini.
Katanya, ketika ini, Sabah FC masih menunggu maklumat mahupun garispanduan daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang ditetapkan sepanjang kejohanan berkenaan.
“Kita sudah memohon dan meminta kebenaran daripada MKN Sabah dan mereka sudah meluluskan untuk kita menganjurkan pertandingan namun bersyarat.
“Pada ketika ini kita masih menunggu pemakluman berkenaan daripada pihak MKN dalam masa terdekat,” katanya.
Katanya, kapasiti maksimum kehadiran penonton ketika ini ditetapkan seramai 5,500 orang.
Orang ramai juga boleh membeli tiket untuk ke perlawanan ini di laman sesawang www.tickethotline.com.my dan sebarang persoalan berkenaan pembelian tiket boleh diajukan kepada @ticket.hotline.
Setiap perlawanan akan bermula jam 4.15 petang dan jam 9 malam.