Kemudahan Penghantaran Kojax Mudahkan Pelanggan Kojasa Mart

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU : Pasar raya mini Kojasa Mart yang dikendalikan cabang pelaburan kerajaan negeri Qhazanah Sabah Berhad (QSB) kini menyediakan perkhidmatan penghantaran barangan runcit khusus untuk pelanggannya.

Perkhidmatan penghantaran barangan kepada pelanggan itu dikendalikan oleh Kojax Sdn Bhd yang merupakan satu lagi inisiatif QSB dalam mempelbagaikan perniagaan dan kemudahan kepada pelanggan.

Inisiatif itu dilancarkan Pengerusi QSB, Datuk Seri Salleh Said Keruak di Kojasa Mart, pusat komersial Anjung Selera di Likas, semalam.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) Kumpulan QSB Joehary Ismail berkata, perkhidmatan yang disediakan kepada pelanggan itu hanya mengenakan bayaran caj minimum untuk setiap pembelian yang dihantar kepada mereka.

Katanya,  perkhidmatan penghantaran Kojax akan disediakan untuk pelanggan dalam radius 20 kilometer dari cawangan Kojasa Mart.

“Perkhidmatan penghantaran Kojax ini akan dilengkapi dengan sistem tempahan secara dalam talian yang kini sedang dibangunkan.

“Sebagai contoh, pelanggan boleh membuat tempahan 10 kilogram beras, sebungkus kelupis atau karipap sejuk beku dan sos cili dari rumah dan mereka hanya perlu membayar dengan harga yang kecil untuk penghantaraan,” katanya dalam kenyataan disini semalam.

Hadir sama Pengarah Eksekutif QSB, Mohd Shukor Abdul Mumin; Pengerusi Kojasa Holding Bhd, Datuk Baharul Sawi dan Setiausaha Politik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Senator Noraini Idris.

Joehary berkata, sistem tempahan secara dalam talian itu amat berguna kepada pengusaha kedai runcit kecil dimana mereka boleh membuat pembelian borong tanpa perlu meninggalkan premis.

Katanya, kebanyakan pemilik kedai runcit mengendalikan sendiri premis masing-masing dan sukar bagi mereka untuk meninggalkan kedai apabila ada keperluan untuk menambah bekalan barangan.

“Inilah merupakan antara cara kami untuk membantu perniagaan skala kecil dengan harga barangan yang berpatutan dan memberi kemudahan untuk mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kojax juga akan melihat peluang bagi menceburi bidang perkhidmatan makanan dan bungkusan serta perkhidmatan lain seperti perkhidmatan pembersihan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *