COVID-19 : Peratusan Kadar Vaksinasi Kanak-Kanak Di Sabah Masih Rendah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU : Sabah masih mencatatkan peratusan kadar vaksinasi kanak-kanak yang rendah dengan hanya seramai 9,686 orang atau 2.35 peratus daripada 411,400 kanak-kanak yang layak divaksin untuk menerima vaksin COVID-19 sehingga semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah itu adalah satu angka yang sangat rendah dengan mengambil kira risiko jangkitan yang tinggi serta jumlah kanak-kanak bawah usia 11 tahun yang dijangkiti setiap hari.

“Pada hari ini seramai 272 pesakit baharu terdiri daripada kanak-kanak yang berusia lima hingga 11 tahun yang sepatutnya sudah layak menerima vaksin.

“Amatlah digalakkan agar ibu bapa mengambil inisiatif untuk memastikan anak-anak mereka diberi vaksin agar mereka memperolehi perlindungan maksimum daripada jangkitan virus COVID-19,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata, kes jangkitan COVID-19 di Sabah kembali melepas angka 4,000 dengan pertambahan 144 kes berbanding semalam.

Katanya jumlah kes jangkitan baharu adalah sebanyak 4,035 kes dan pertambahan itu memang sudah diduga dengan mengambilkira peratusan jangkitan sporadik yang tinggi.

“Jumlah daerah yang mencatatkan kes tiga angka juga semakin bertambah iaitu kepada 12 daerah hari ini.

“Antara daerah-daerah yang mencatat kes yang tinggi ialah Kota Kinabalu 910 kes, Sandakan 496 kes, Tuaran 388 kes, Tawau 328 kes, Penampang 325 kes, Papar 263 kes, Putatan 200 kes, Lahad Datu 189 kes, Beaufort 134 kes, Ranau 129 kes, Keningau 106 kes dan Kota Belud 106 kes.

“Kes baharu di Putatan naik 136 dalam masa sehari,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, jumlah kes bergejala yang berpunca daripada jangkitan sporadik adalah amat tinggi iaitu sebanyak 61.07 peratus atau 2464 daripada 4035 kes hari ini.

Katanya, peratusan jangkitan sporadik yang tinggi membantu penularan virus dengan lebih cepat dan luas mengakibatkan jumlah kes harian yang berganda dalam tempoh yang cepat.

“Pada hari ini, sejumlah 4,011 (99.41 peratus) daripada 4,035 kes adalah dalam Kategori satu dan dua. Terdapat tujuh kes dalam Kategori tiga, empat-belas kes dalam Kategori empat dan tiga kes dalam Kategori lima,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *