CDERT FAMA Siapsiaga Hadapi Bencana

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 1 Second

PORT DICKSON:  Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meneruskan kursus CDERT FAMA yang bertujuan meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan terhadap bencana khususnya dalam kalangan kakitangan FAMA.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pengurangan risiko bencana merupakan tanggungjawab yang perlu dikongsi bersama dengan semua pihak berkepentingan, membudayakan latihan secara bersepadu, terencana dan berkesinambungan.

Katanya, ia selaras dengan Kerangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana Tahun 2015-2030 yang disepakati oleh 187 negara.

“Usaha MAFI melalui FAMA dalam melaksanakan CDERT adalah bertepatan dan seiring dengan semangat Keluarga Malaysia yang dapat dilihat bahawa tugas serta tanggungjawab dalam menghadapi bencana tidak hanya terletak kepada pasukan penguatkuasa semata-mata.

“FAMA juga telah diperuntukan dana sebanyak RM30 juta di bawah peruntukan Program Rangsangan Ekonomi (PRE) bagi melengkapkan kemudahan logistik dan pusat penyimpanan FAMA di seluruh negara.

“Kelengkapan seperti kemudahan ruang penyimpanan bagi hasil pertanian segar dan proses, kemudahan bilik sejuk dan kenderaan FAMA telah berjaya memantapkan lagi usaha Kerajaan dalam menjamin bekalan makanan negara,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Dr Ronald berkata, FAMA turut dilantik dan diberi tanggunggjawab sebagai penyedia kit makanan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk disalurkan ke seluruh negara apabila berlaku sesuatu bencana.

“Atas dasar ini, kakitangan FAMA perlu dilatih dan diberikan kemahiran untuk membantu jabatan dan agensi berkuasa awam berkaitan dalam menyalurkan bantuan dan memberikan pertolongan kecemasan kepada kumpulan sasar yang terlibat.

“Latihan ini juga merupakan salah satu elemen yang dapat meningkatkan mutu penyampaian peranan FAMA sebagai agensi pelaksana dalam pemantapan jaminan bekalan makanan semasa krisis dan bencana,” katanya.

Sementara itu, Dr Ronald berkata, CDERT FAMA telah dilaksanakan secara bersiri dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bagi siri pertama telah bermula pada 29 November 2021.

Katanya, seramai 44 orang kakitangan FAMA telah menjalani latihan asas pertahanan awam selama 56 jam di Institut Latihan FAMA, Port Dickson.

“Diikuti siri kedua dengan penyertaan seramai 34 orang dan kini siri ketiga diadakan dari 13 hingga 18 Februari 2022 dengan penglibatan seramai 163 orang.

“Secara keseluruhan seramai 241 orang kakitangan FAMA telah menganggotai CDERT FAMA ini. Melangkah kehadapan, seramai seribu kakitangan akan menganggotai CDERT FAMA ini pada awal tahun 2023,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Ronald berkata, FAMA sentiasa bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada APM bagi sebarang misi bencana dengan menyediakan perkhidmatan dan kemudahan FAMA.

Katanya, pihaknya juga mengalu-alukan panggilan dari APM sekiranya terdapat kakitangan FAMA yang layak untuk menyertai misi bencana bagi memanfaatkan ilmu dan latihan yang telah diperolehi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *