HomeIsu tempatan40 Pengusaha 'Homestay' Sertai Seminar Keselamatan Elektrik, Gas

40 Pengusaha ‘Homestay’ Sertai Seminar Keselamatan Elektrik, Gas

Read Time:1 Minute, 9 Second

RANAU : Seramai 40 pengusaha inap desa (homestay) di daerah ini telah menyertai Seminar Keselamatan Elektrik dan Gas.

Seminar yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) itu diadakan di Walai Tokou Homestay Kundasang Ranau disini baru-baru ini.

Pengarah Kawasan ST Pantai Barat Sabah (STPBS), Jefrey Nuri berkata, seminar itu adalah sebagai langkah meningkatkan kesedaran keselamatan elektrik dan gas di kalangan pengusaha inap desa.

Katanya, menerusi seminar itu, peserta diberikan pendedahan mengenai langkah-langkah keselamatan elektrik dan gas yang perlu diambil, serta akta dan peraturan yang berkait dengan keselamatan elektrik dan gas.

“Sebagai pengusaha inap desa, keselamatan elektrik dan gas perlu ditekankan dan diberi perhatian serius bagi menjamin keselamatan pelancong yang datang ke kawasan berkenaan.

“Ini termasuklah memastikan pemasangan alat perlindungan Peranti Arus Baki (PAB) yang bersesuaian dan berkesan bagi melindungi orang ramai daripada renjatan elektrik sekiranya berlaku kebocoran arus atau litar pintas,” katanya.

Jefrey turut mengingatkan pengusaha inap desa serta pengguna secara amnya supaya sentiasa peka dengan aspek keselamatan elektrik dengan membeli kelengkapan elektrik yang mempunyai label SIRIM-ST.

Beliau turut menggesa tidak sesekali mengubahsuai kelengkapan elektrik yang rosak, elakkan daripada mengguna kelengkapan elektrik dalam keadaan basah, tidak menghampiri talian atas elektrik semasa menjalankan aktiviti memotong dahan pokok dan sebagainya.

Seminar itu adalah salah satu daripada inisiatif ST yang diadakan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan penggunaan elektrik dan gas secara selamat dan cekap.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lebih 100 pengunjung meriahkan Christmas @ KK Sentral Riverside Market

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular