HomeUtamaCOVID-19 : Kes Jangkitan Di Sabah Pecah Rekod

COVID-19 : Kes Jangkitan Di Sabah Pecah Rekod

Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU : Kes jangkitan COVID-19 di Sabah mencatat rekod baharu apabila sebanyak 5,082 kes dilaporkan pada hari ini dengan peningkatan 708 kes berbanding semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daerah Kota Kinabalu mencatatkan kes baharu yang tertinggi di Sabah dengan 1,086 kes.

Katanya, hampir 60 peratus daripada kes-kes yang berlaku di Kota Kinabalu merupakan kes bergejala yang berpunca daripada jangkitan sporadik.

“Apa yang membimbangkan ialah jangkitan secara sporadik sudah menjadi satu trend di hampir semua daerah di Sabah dan hari ini 59.60 peratus atau 3,029 daripada 5,082 kes adalah dalam kategori ini.

“Statistik tinggi jangkitan secara sporadik bermakna jumlah kes baharu akan berganda dengan lebih cepat.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan menghadapi kesukaran menjejak indeks kes untuk tujuan mengenalpasti kontak-kontak rapat bagi membendung  penularan lebih luas,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, pada hari ini, terdapat 12 daerah mencatatkan kes tiga angka iaitu Sandakan 500 kes, Penampang 463 kes, Tuaran 421 kes, Papar 313 kes, Tawau 310 kes, Ranau 266 kes, Lahad Datu 263 kes, Putatan 222 kes, Kota Marudu 216 kes, Keningau 181 kes, Beaufort 144 kes dan Kota Belud 137 kes.

Katanya, sejumlah 13 daerah mencatatkan kes dua angka dan hanya Kalabakan menjadi daerah tunggal yang tidak mencatatkan sebarang jangkitan baru.

“Terdapat dua kluster institusi pendidikan baharu yang diisytiharkan hari ini iaitu Kluster Jalan Bandau di Kota Marudu dan Kluster Jalan Sokid di Ranau.

“Pada hari ini juga pihak JKNS menamatkan Kluster Kem Bina, Ranau yang didapati sudah tidak lagi aktif. Jumlah kluster yang masih aktif di seluruh Sabah pada masa ini ialah 39 kluster,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, sejumlah 99.72 peratus atau 5,068 daripada 5,082 kes hari ini adalah dalam Kategori satu dan dua.

“Terdapat tiga kes dalam Kategori tiga, 10 kes dalam Kategori empat dan satu kes dalam Kategori lima,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : Kerajaan tidak benarkan pembinaan Rumah SMJ dibina di...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya