HomeUtamaTiga sekeluarga buktikan usia dan tanggungjawab bukan penghalang raih ijazah

Tiga sekeluarga buktikan usia dan tanggungjawab bukan penghalang raih ijazah

Read Time:1 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU: Kesungguhan menimba ilmu dalam kalangan tiga ahli keluarga membuahkan hasil apabila mereka berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Akuakultur selepas lima tahun mengikuti pengajian secara fleksibel.

Lebih menarik, kejayaan Cellin Benjamin, 60, bersama anaknya, Casen Cyril George,30, dan anak saudaranya, Epirazuriena Daneh, 36, bukan sekadar pencapaian akademik, sebaliknya membuktikan komitmen terhadap pekerjaan dan keluarga bukan penghalang untuk melanjutkan pelajaran.

Ketiga-tiga mereka mengikuti program UMS-Flex anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) hasil kerjasama dengan Jabatan Perikanan Sabah yang memberi peluang kepada kakitangan jabatan itu meningkatkan kelayakan akademik tanpa perlu meninggalkan pekerjaan.

Cellin berkata, beliau mula menyambung pengajian ketika berusia 55 tahun dengan hasrat meningkatkan pengetahuan selain mahu menjadi contoh kepada anak dan anak saudaranya.

Menurutnya, keputusan itu turut membuka ruang kepada kedua-dua ahli keluarganya untuk mengikuti jejak sama, sekali gus menyaksikan mereka berjaya menamatkan pengajian bersama-sama.

Katanya, cabaran utama sepanjang tempoh lima tahun itu ialah membahagikan masa antara tanggungjawab pekerjaan dengan tuntutan akademik.

Bagaimanapun, disiplin, perancangan masa dan sokongan antara satu sama lain membolehkan mereka mengharungi cabaran sehingga tamat pengajian.

Sementara itu, Casen berkata, dorongan ibunya menjadi pencetus kepada keputusan beliau menyambung pengajian selepas pada awalnya lebih mengutamakan pekerjaan.

Katanya, walaupun pernah berasa penat dan terfikir untuk berhenti, semangat yang diberikan ibunya membantu beliau meneruskan pengajian sehingga berjaya.

Epirazuriena pula berkata, sokongan ibu saudaranya mendorong beliau mengambil peluang melanjutkan pelajaran walaupun mempunyai tanggungjawab membesarkan empat anak.

Beliau berkata, ilmu yang diperoleh sepanjang pengajian turut memberi manfaat dalam melaksanakan tugasan di Jabatan Perikanan Sabah.

Sebagai Pekerja Sambilan Harian (PSH), beliau berharap kelayakan ijazah itu dapat membuka peluang lebih baik dalam perkembangan kerjaya, termasuk penambahbaikan kadar upah.

Cellin yang bersara pada September lalu berkata, beliau berharap kejayaan memperoleh ijazah itu menjadi permulaan kepada perjalanan akademik lebih jauh buat anak dan anak saudaranya.

Beliau turut berhasrat meneruskan usaha menimba ilmu serta berkongsi pengetahuan dengan komuniti, khususnya dalam bidang pembangunan ekokultur. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sutera Sunset Cultural Walk platform promosi warisan budaya Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular