Oleh Normimie Diun
RANAU: Arus deras sungai, laluan akses terhad, keadaan tanah tidak stabil serta kesukaran membawa peralatan berat menjadi antara cabaran utama yang dihadapi petugas Sabah Electricity Sdn Bhd dalam usaha memulihkan talian penghantaran elektrik di Kampung Sagindai lama, Ranau.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar, berkata keadaan tapak yang tidak sesuai memaksa pasukan teknikal mengubah kedudukan pemasangan menara Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) bagi memastikan struktur berkenaan dapat didirikan dengan selamat.
Katanya, tanah di lokasi asal didapati tidak cukup stabil untuk menampung struktur menara, selain akses ke kawasan seberang sungai yang menyukarkan pergerakan jentera dan peralatan, sekali gus memerlukan pasukan menyesuaikan kaedah kerja dengan keadaan sebenar di lapangan.

“Untuk menyeberang, kita kena melalui jambatan gantung dan jentera tidak dapat masuk. Cabaran terbesar ialah menyeberangkan konduktor kerana kabel ini berat. Kalau ditarik melalui sungai, ia boleh hanyut dibawa arus deras.
“Semalam, pihak bomba turut membantu kita, tetapi usaha untuk menyeberang tidak berjaya kerana arus terlalu deras. Mujur kita masih mempunyai satu konduktor yang bersambung dan tenaga kerja kita bergantung pada laluan itu untuk menyeberangkan pilot wire,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di lokasi kerja-kerja pemasangan menara ERS di sini, hari ini.
Beliau berkata, keadaan berkenaan turut menyebabkan kerja-kerja pemulihan perlu dilakukan dengan teliti, terutama ketika merentang kabel, yang tidak boleh dilakukan pada waktu malam kerana sukar memantau keseluruhan jajaran dari satu hujung ke hujung.
Menurutnya, pasukan teknikal bekerja sehingga jam 9 malam pada hari sebelumnya, berbanding jam 10 malam pada hari pertama, namun kerja-kerja merentang kabel tetap dilakukan dengan mengutamakan keselamatan petugas.
“Untuk kerja stringing, biasanya kita berhati-hati dan cuba elakkan menarik kabel pada waktu malam kerana kita tidak dapat melihat dari hujung ke hujung. Kalau kerja mendirikan struktur setempat, kita boleh lakukan sehingga malam,” katanya.
Mengulas faktor tumbangnya menara penghantar bekalan elektrik T313, Yaakob berkata, perubahan aliran Sungai Liwagu dan hakisan tebing menyebabkan jarak sungai dengan menara yang pada asalnya kira-kira 106 meter semakin terjejas, meskipun langkah perlindungan termasuk meletakkan pasir dan batu pernah dilaksanakan sebelum ini.
Beliau berkata, cabaran di Kampung Sagindai berbeza dengan pengalaman pemulihan terdahulu di Penampang, namun keadaan cuaca yang baik sepanjang operasi membantu pasukan mempercepatkan pelaksanaan kerja.

Seramai 148 tenaga kerja terdiri daripada 64 warga Sabah Electricity dan 84 pekerja kontraktor terlibat dalam operasi berkenaan bagi memastikan pemulihan talian penghantaran elektrik ke Pantai Timur Sabah dapat disegerakan.



