KOTA KINABALU: Latar belakang keluarga berpendapatan rendah (B40) bukan penghalang untuk mencapai kejayaan apabila 80 peratus daripada 25 graduan sulung Program Sarjana Muda Sains Kejururawatan dengan Kepujian, Universiti Malaysia Sabah (UMS), berasal daripada kelompok berkenaan.
Lebih membanggakan, kesemua graduan itu berjaya mencatatkan kelulusan 100 peratus dalam Peperiksaan Profesional Lembaga Jururawat Malaysia (LJM) bagi tahun 2026.
Pencapaian itu membuktikan pendidikan tinggi berupaya membuka peluang mobiliti sosial kepada golongan berpendapatan rendah, selain menjadi platform melahirkan tenaga profesional dalam sektor penjagaan kesihatan.
Kohort pertama yang memulakan pengajian pada 2022 itu terdiri daripada 23 graduan perempuan dan dua lelaki, dengan 22 orang berasal dari Sabah manakala tiga lagi dari Sarawak.
Daripada keseluruhan graduan berkenaan, enam berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama, iaitu Andrea Roulind, Betcye Lee Lejuh @ Severinus, Gloria Sarah Ben, Rin Ashira Romzi, Siti Norsyafika Abdullah dan Nur Fatin Athira Abdul Manaf.

Kejayaan itu merupakan hasil usaha selama empat tahun yang merangkumi pembelajaran akademik, latihan klinikal serta persediaan memenuhi tuntutan profesion kejururawatan.
Bagaimanapun, perjalanan sebahagian graduan untuk mencapai kejayaan itu turut disulami cabaran peribadi, termasuk kehilangan insan tersayang dan masalah kesihatan sepanjang tempoh pengajian.
Antaranya, Tonneyzey Anon @ Ajirin yang kehilangan ibu tercinta ketika berada di tahun akhir pengajian, namun tetap cekal meneruskan pengajian sehingga berjaya menggenggam ijazah.
Seorang lagi graduan, Siti Norsyafika Abdullah, turut membuktikan ketabahan apabila berjaya memperoleh Kepujian Kelas Pertama meskipun berhadapan cabaran kesihatan sepanjang tempoh pengajian.
Naib Canselor UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly, merakamkan ucapan tahniah kepada semua graduan atas kejayaan itu dan berharap mereka dapat membawa nama baik universiti ketika menjalankan tanggungjawab dalam profesion masing-masing.
Beliau turut berpesan supaya graduan sentiasa mengutamakan integriti, profesionalisme dan nilai ihsan ketika memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
“Bawalah nama baik UMS dalam setiap langkah pengabdian. Berkhidmatlah dengan ilmu, rawatlah dengan kemahiran dan santunilah setiap pesakit dengan hati.
“Jadilah jururawat yang bukan sahaja cekap dan profesional, tetapi juga sentiasa hadir ketika pesakit paling memerlukan,” katanya.
Kejayaan kohort sulung itu turut mencerminkan peranan UMS dalam menyediakan peluang pendidikan tinggi kepada anak tempatan, sekali gus membantu melahirkan tenaga profesional bagi memenuhi keperluan sektor kesihatan, khususnya di Sabah.
Dalam perkembangan berkaitan, UMS turut memperluas laluan pendidikan bidang kejururawatan menerusi penawaran program Sarjana Kejururawatan dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang berkenaan mulai September 2026.
Inisiatif itu dijangka membuka lebih banyak peluang melahirkan tenaga pakar, pendidik dan penyelidik dalam bidang kejururawatan bagi menyokong peningkatan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan negara.



