Tak Rela Dimalukan Singapura

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 39 Second

SHAH ALAM: Skuad lelaki negara tidak rela dimalukan apabila membuat perhitungan dengan Singapura dalam aksi pembukaan Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City Shah Alam, hari ini

Pengarah Kejurulatihan (perseorangan) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann menyifatkan aksi jiran tetangga itu sebagai wajib menang bagi meningkatkan tahap keyakinan pemain untuk mengharungi perlawanan seterusnya.

Katanya, biarpun Singapura diperkuatkan dengan kehadiran juara dunia, Loh Kean Yew namun dia yakin dengan kemampuan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang berpotensi untuk menyumbang mata pertama buat pasukan negara.

“Benar, Kean Yew adalah seorang pemain yang handal dan perlu dihormati. Namun, apabila kita bertanding, kita perlu lawan tidak kira siapa pun dan kita mahu menang.

“Ini adalah kejohanan berpasukan dan kita tidak boleh bergantung kepada seorang pemain saja, kita memerlukan tiga mata untuk memenangi setiap perlawanan.

“Saya sedar beregu utama Singapura (Loh Kean Hean-Terry Hee) menunjukkan peningkatan prestasi yang baik ketika ini dan kita perlu berwaspada. Namun, saya percaya kita boleh mengatasi (Singapura) bermula dengan perlawanan pertama,” kata Choong Hann.

Malaysia yang berjaya melangkah ke final pada edisi 2020 di Filipina dijangka menurunkan barisan terkuat bagi memastikan kemenangan pertama dalam saingan peringkat kumpulan kali ini.

Zii Jia pastinya menjadi sandaran untuk menyumbang mata pertama dengan Ng Tze Yong diletakkan sebagai perseorangan kedua dan Leong Jun Hao dijangka menggalas tugas perseorangan ketiga.

Bagi acara beregu, cabaran skuad negara akan diketuai pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik manakala Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dijangka turun sebagai beregu kedua.

Mengulas mengenai tekanan yang mungkin dialami barisan pemain negara apabila harapan tinggi diletakkan untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian dua tahun lalu dengan mara ke final selain beraksi di laman sendiri, Choong Hann percaya anak buahnya akan sentiasa berfikiran positif.

“Apa yang paling adalah cara kita berfikir. Kalau kita selalu berfikiran positif tidak kira betapa teruk situasi sekalipun, anda akan dapat menyelesaikan semua perkara dengan positif. Ini adalah pendekatan yang kita akan gunakan,” katanya. – BH

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *