KOTA KINABALU: Turki meletakkan Sabah pada petanya bagi mempromosikan negeri itu sebagai destinasi ideal untuk percutian selam skuba.
Delegasi Turki yang diketuai oleh Duta Turki ke Malaysia Dr Merve Safa Kavakçi telah tiba di Sabah pada 20 Februari untuk lawatan suai kenal yang akan merangkumi lawatan ke Semporna.
Penyelam Turki terkenal yang juga pemegang rekod dunia menyelam bebas Şahika Ercümen akan turut menyertai lawatan pendidikan yang dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB).
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin, menjadi tuan rumah kepada delegasi makan malam bersama Setiausaha Tetap Datuk Sr Yusrie Abdullah dan Lembaga Pelancongan Sabah.
“Turki telah berada dalam radar STB muncul sebagai pasaran baru. Pada penghujung 2021, saya berada di Istanbul dan bertemu dengan ejen luar negara yang berminat untuk meneroka tawaran perjalanan ke Sabah. Lawatan Kedutaan ke Sabah mengembalikan keyakinannya bahawa Sabah adalah destinasi berpotensi untuk pelancong Turki,” kata Jafry.
Pada Isnin, Universiti Malaysia Sabah menjemput Kavakçı dan delegasinya ke sesi ceramah. Pada sesi itu, Ercümen menyatakan tentang minatnya untuk menyelam bebas dan pemuliharaan marin. Beliau kemudiannya akan pergi ke pantai timur untuk menghasilkan video menyelam di Sabah.
Sabah adalah tempat kepada enam taman marin yang dilindungi dan diuruskan oleh Taman Sabah termasuklah Taman Pulau Sipadan dan Taman Laut Tun Sakaran yang terkenal di dunia terletak di Semporna.
Manakala Taman Laut Tun Sakaran terdiri daripada lapan pulau dengan air sejernih kristal iaitu Bodgaya, Boheydulang, Tetagan, Selakan, Sebangkat, Maiga, Sibuan dan Mantabuan.
Daerah pantai timur juga merupakan pintu masuk ke pulau-pulau syurga dan beberapa tapak menyelam terbaik seperti Mataking, Kapalai, Mabul dan Bum-Bum.
Ketua Pegawai Eksekutif STB Noredah Othman berkata Sabah, khususnya Semporna, kaya dengan biodiversiti marin, menjadikannya destinasi ideal untuk pelancongan lautan.
“Paus pembunuh, jerung paus, dan ikan lumba-lumba dipercayai menggunakan perairan Semporna sebagai laluan migrasi, dan makhluk laut yang luar biasa ini telah dilihat beberapa kali oleh penyelam.
“Ahli akademik juga telah tertarik ke dasar laut Semporna untuk menyelidik hidupan marin, dan potensi untuk menemui spesies makro baharu adalah sangat besar. Kita berharap dapat membuat penyelam skuba di Turki teruja dengan tempat baharu untuk menyelam apabila sempadan antarabangsa kita dibuka semula,” katanya.
“Kavakcı, dalam ucapan penggulungannya, turut menarik perhatian kepada kepentingan kelestarian usaha kerjasama antara pihak.
“Pertukaran pengalaman antara sarjana, saintis dan ahli akademik Turki dan Sabah akan menyumbang kepada pemantapan interaksi kita sekali gus memanjangkan hayat kerjasama kita,” ujarnya.