HomeUtamaKPDNHEP Terus Pantau, Periksa Bekalan Kit Kendiri COVID-19 Mencukupi

KPDNHEP Terus Pantau, Periksa Bekalan Kit Kendiri COVID-19 Mencukupi

Read Time:1 Minute, 57 Second

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan berkala pada setiap hari bagi memastikan bekalan Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 (Ujian Kendiri) (RTK) mencukupi.

KPDNHEP dalam satu kenyataan berkata, ia termasuklah pemantauan dan pemeriksaan di peringkat pengimport, pengilang, pemborong dan peruncit agar bekalan kit ujian sentiasa stabil dalam pasaran dan mudah diperolehi oleh pengguna.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan mewartakan RTK sebagai barang kawalan di bawah Perintah Kawalan Bekalan (Barang- Barang Kawalan) (No.6) 2021 pada 24 November 2021 yang lalu dan telah dikuatkuasakan pada 1 Disember 2021.

“Berdasarkan statistik penguatkuasaan dan pemantauan yang telah dilakukan, sehingga kini terdapat kira-kira 18 juta unit RTK tersedia dalam pasaran.

“Sejumlah 8,084 premis runcit telah diberi kelulusan kebenaran menjual RTK yang diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA).

“Sebagai makluman, lapan pengilang Establismen yang mendapat kebenaran bersyarat menghasilkan RTK di Malaysia telah mengeluarkan sejumlah 4.306 juta unit RTK sehingga Februari 2022,” kata kenyataan itu disini semalam.

KPDNHEP berkata, negara telah mengimport sejumlah 2.34 juta unit RTK dari tujug buah negara dan jumlah keberadaan RTK tambahan di pasaran sehingga hujung Februari adalah 6.647 juta unit.

“Berdasarkan statistik, aduan berhubung kekurangan bekalan RTK menunjukkan peratus yang sangat rendah di mana pada tahun ini bermula 1 Januari sehingga 21 Februari 2022 hanya tiga aduan sahaja diterima oleh pihak Kementerian berhubung kekurangan bekalan kit ujian ini.

“Julat harga RTK di pasaran adalah antara RM4.90 hingga RM19.90 pada ketika ini dan 80 peratus RTK dijual di bawah RM10.00 seunit,”katanya.

Sementara itu, KPDNHEP turut memberi amaran kepada peniaga agar terus mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan penjualan RTK.

Kata kenyataan itu, ia adalah bagi mengelak tindakan tegas akan diambil oleh pihak kementerian.

“Peniaga yang dikesan melakukan kesalahan berhubung perkara ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan selain boleh dikenakan penalti.

“KPDNHEP juga ingin menasihati pengguna agar tidak panik dengan situasi yang berlaku ini dengan membuat pembelian panik atau berlebihan dari keperluan dan sentiasa berwaspada dengan kehadiran RTK yang tidak mendapat kelulusan MDA.

“Orang ramai juga dinasihati supaya meningkatkan penjagaan kesihatan dan sentiasa mematuhi SOP Kesihatan serta melakukan pemantauan awal ke atas diri dan keluarga bagi mengelakkan daripada dijangkiti oleh wabak COVID-19,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Elak motosikal keluar simpang, pemandu Toyota Hilux hilang kawalan langgar 5...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular