HomeIsu tempatanRENCANA : TSB IPD Kota Kinabalu Perkasa Cegah Jenayah

RENCANA : TSB IPD Kota Kinabalu Perkasa Cegah Jenayah

Read Time:4 Minute, 3 Second

Nama ThunderStorm Band (TSB) bukanlah band yang asing dalam arena muzik di Sabah terutama dalam pasukan beruniform. 

Malah, band IPD Kota Kinabalu itu sudahpun mempunyai pengikut dalam kelasnya yang tersendiri menerusi program-program community policing.

Peranan Band Dalam Comunity Poilicing

Selepas hampir dua tahun berehat ekoran pandemik Covid-19, kini di bawah naungan Ketua Polis Daerah, ACP Mohd Zaidi Abdullah ThunderStorm Band mula aktif memainkan peranannya untuk mendekati masyarakat dalam usaha membanteras jenayah di Bandaraya Kota Kinabalu.

Atas nasihat ACP Zaidi, pencarian bakat baharu dilaksanakan bagi menyediakan pelapis kepada anggota band sedia ada. Oleh itu, buat julung kalinya TSB diberi tanggungjawab mengelolakan Pertandingan Nyanyian Solo Peringkat Ipd KK 2022 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

“Dengan muzik ThunderStorm Band, kita mampu mendekati komuniti khususnya golongan muda untuk menarik perhatian seterusnya membina jaringan kerjasama di antara Polis dengan masyarakat bagi membanteras jenayah.

“Pada pada tahun ini, persembahan band akan dimantapkan melalui latihan berkala secara konsisten, di samping mengganti peralatan yang telah rosak,” ujar beliau.

Bakat Baharu Sebagai Pelapis

Mengulas lanjut mengenai pencarian bakat baharu itu, Pengurus ThunderStorm Band, DSP Rosdi Mat Jusoh berkata, warga IPD Kota Kinabalu sememangnya sangat berbakat dan pertandingan seumpama memberi peluang untuk mengetengahkan mereka.

“Daripada lebih 50 peserta yang menghantar penyertaan, hanya enam yang berjaya ke pentas akhir pertandingan ini.

“Pertandingan peringkat akhir diadili empat juri terdiri daripada artis wanita popular, Clarice J. Martha, Bintang Akademi Fantasia 7, Rubisa Tiasin, ASP Roning Mulut, selain artis tempatan yang popular dengan lagu, ‘Pologoson Oku’ dan merupakan ahli baru TSB,” dedah beliau.

Pentas Akhir Pertandingan Nyanyian Solo

Tepat jam 8 malam,  Pentas Akhir Nyanyian Solo IPD KK 2022 dibuka dengan persembahan tarian oleh Kumpulan Senitari Ipd Kota Kinabalu dan aturcara majlis  dikemudi ketua band, Syach Din sebagai pengacara, di samping rangkaian lagu-lagu persembahan TSB. 

Mendahului giliran, finalis yang mewakili Cawangan MPV, Sarjan Jimmy Chu Tze Shiong, 42, dari Kiulu dilihat membuai barisan juri dan audien dalam Dewan Serbaguna  dengan lagu Loela Drakel, ‘Anggur Merah 2’. 

Disebabkan bersukan menjadi hobinya, Jimmy mampu mengawal stamina dengan baik sepanjang persembahannya.

Bagaimanapun, perhatian audien tertumpu kepada johan menunggu, Sarjan Redzuan @ Jison Abdullah, 47, yang pernah menjuarai Pertandingan Nyanyian Karaoke Peringkat Kontinjen Sabah Tahun 2019.

Jison yang mewakili Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik mengekalkan konsep persembahan lagu etnik berjudul ‘Tupus Pokitanan’ oleh penyanyi asal, Francis Landong.

Namun, vokal dan persembahan anggota MPV, Sarjan Razalynizam Abdul Shamad, 40, berasal dari Tawau juga tidak mampu dipandang sebelah mata.

Razalynizam yang aktif dengan kumpulan koir semasa zaman sekolah menengahnya dan pernah menyertai petandingan karaoke di sekitar Tawau, mencuba nasib dengan mendedangkan lagu penyanyi lagenda Tom Jones, ‘Green Green Grass Of Home’.

Finalis keempat, Konstabel Muhammad Izzat Syamil Abd Rashid, 29, merupakan anak kelahiran Selangor yang mewakili Balai Polis Menggatal dengan mempertaruhkan lagu Aris Ariwatan, ‘Lamunan Terhenti’.

Pengalamannya memenangi Naib Juara Pertandingan Nasyid Peringkat IPTA/ IPTS di Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka membuatkan dirinya tampak yakin di atas pentas.

Giliran seterusnya disusuli finalis berasal dari Papar, Kpl Aaron Kevin Venantius, 30, mewakili Balai Polis Pulau Gaya dengan membawakan lagu Josh Turner, ‘Your Man’.

Aksi bersahaja Aaron di atas pentas, langsung tidak menafikan pengalamannya bersama Mutiara Band Pulau Pinang sebelum bertugas di Sabah. 

Pentas akhir kemudiannya bergemuruh dengan sokongan moral audien terhadap pegawai Bahagian Pengurusan, ASP Johri Rubinsin, 45, berasal dari Tawau.

Persembahan yang lengkap dengan prop, digabung dengan kemantapan vokal menerusi lagu oleh Hazrul Nizam, ‘Kaulah Segalanya’ benar-benar mencuri perhatian juri.

Keputusan, Hadiah Tajaan Adabi 

Pertandingan Akhir Nyanyian Solo IPD Kota Kinabalu 2022 akhirnya memuktamadkan Johri sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan hamper.

Sementara itu, Muhammad Izzat dan Razalynizam meraih naib juara dan tempat ketiga dan masing-masing menerima RM700 dan RM500 serta hamper.

Penerima saguhati terdiri daripada Jison, Jimmy dan Aaron pula menerima saguhati RM100 serta hamper.

Semua hadiah disampaikan oleh ACP Zaidi Abdullah yang diiringi oleh Timbalannya, Supt George Rakman dan hadiah tajaan oleh Pengurus Adabi Sabah Distribution Sdn Bhd, Muhamad Zahari Muhd Nasir. 

Diharapkan menerusi muzik, IPD KK dapat mendekati masyarakat dan menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk memantapkan strategi membanteras jenayah./PENERANGAN- 

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular