UMS-UKM Meterai LoI, Anjur Bengkel Bersama Tingkat Penerbitan Berimpak Tinggi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 9 Second

KOTA KINABALU : Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) telah mengadakan kolaborasi bersama FSSK Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam usaha meningkatkan penerbitan berimpak tinggi oleh ahli akademik kedua-dua universiti.

Kolaborasi tersebut dimeterai dalam satu Majlis Menandatangani Surat Niat (LoI) bersempena Bengkel Perwasitan Artikel Jurnal (Q1-Q4) anjuran bersama kedua-dua universiti di Hotel Promenade, Kota Kinabalu baru-baru ini.

UKM diwakili Dekan FSSK, Prof. Dr. Hazita Azman menandatangani LoI tersebut, manakala UMS diwakili oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FSSK, Dr. Syahruddin Ahmad yang mewakili Dekan FSSK, Prof. Madya Dr. Asmady Idris.

Hazita ketika berucap sempena majlis tersebut berkata, jalinan kolaborasi ini sekali gus membantu kedua-dua universiti untuk memenuhi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) seperti yang dituntut oleh Kementerian Pengajian Tinggi ke atas semua Universiti Awam.

“Kolaborasi ini juga akan membuka peluang untuk kerjasama yang erat dalam penyelidikan serantau Asia Tenggara berkaitan Geopolitik, Keselamatan Sempadan Antarabangsa Malaysia, data kebangsaan berkaitan Covid-19, dan kajian Impak Bencana Alam.

“Ini juga akan membawa kepada peluang untuk kedua-dua fakulti mengadakan persidangan flagship bertaraf antarabangsa kelak,” katanya.

Beliau menambah, pengendalian Bengkel Perwasitan Artikel Jurnal (Q1-Q4) juga merupakan satu daripada aktiviti kerjasama yang telah membawa kepada LoI tersebut dan juga Memorandum Persefahaman (MoU) yang bakal ditandatangani UKM Kampus Bangi dalam masa terdekat.

“Besarlah harapan hasil dari bengkel yang dijalankan ini akan menyaksikan peningkatan bilangan penerbitan berimpak tinggi dalam kalangan pensyarah-pensyarah yang terlibat bukan sahaja dari UKM dan UMS tetapi juga UA lain yang turut menyertai bengkel ini,” kata Hazita.

Dalam pada itu, Asmady ketika berucap secara dalam talian pada majlis tersebut berkata, kerjasama yang dijalin itu diharap dapat membantu pensyarah FSSK UMS khususnya untuk menempatkan artikel mereka dalam jurnal berimpak tinggi.

“Kita juga berharap agar melalui kolaborasi ini dapat meningkatkan bilangan sitasi kedua-dua pihak,” ujar Asmady.

Seramai 60 peserta dari UKM, UMS, Universiti Utara Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Malaysia Kelantan telah menyertai bengkel selama empat hari yang turut diadakan secara maya.

Perbincangan kedua-dua wakil universiti juga menghasilkan satu deklarasi bagi kolaborasi dalam 10 kluster sub-penyelidikan, iaitu dalam bidang ekonomi, sosial aktiviti, persekitaran, pemetaan, keselamatan, struktur politik, pelancongan, kewarganegaraan, perubahan iklim, dan pengurusan bencana.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul; Ketua Penyelidik Kajian Forensik Sosio-Elektoral, Pembangunan dan Persekitaran FSSK UKM, Prof. Dr. Mohd Fuad Mat Jali; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FSSK UKM, Prof. Madya Dr. Kadaruddin Aiyub; dan  Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat) Pusat Pengurusan Stratergik dan Komunikasi Korporat UMS, Dr. Norhuda Salleh.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *