PBS Harap RUU Anti Lompat Parti Diluluskan Di Parlimen

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) berharap Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dapat diluluskan di Parlimen.

Presidennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata sebagai antara parti perintis RUU itu, selepas 37 tahun akhirnya Parlimen bersetuju dengan PBS mengenai keperluan mewujudkan Undang-Undang Anti Lompat Parti di negara ini.

“Saya menegaskan PBS sememangnya menentang kelakuan sedemikian. Kelakuan sedemikian umpama dosa, ia adalah pegangan politik yang tidak berprinsip.

“Bagi kami, perbuatan lompat parti sangat jahat, tidak adil, tidak mempunyai etika dan adab yang baik,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-37 parti itu di sini malam ini yang dihadiri kira-kira 150 tetamu.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata beberapa cadangan pindaan Perlembagaan akan dibentang semasa persidangan Dewan Rakyat termasuk RUU Anti Lompat Parti dan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.

Ongkili, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), juga berkata sejak penubuhan PBS pada 1985, parti itu diuji dengan pelbagai cabaran, ada yang mengherdik malahan segelintir meramalkan ia tidak akan bertahan lama.

“Tetapi kami telah buktikan mereka salah. Kami masih di sini dan akan terus berjuang untuk kebaikan rakyat serta Sabah,” katanya.

Beliau berkata PBS akan terus menyokong penuh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sambil menambah ketabahan dan semangat kuat parti itu adalah tunjang perjuangan untuk mengukuhkan lagi gabungan politik tersebut.

“Kami menyokong gabungan parti yang berkualiti terutama sekali yang menyediakan rangka kerja terhormat untuk Sabah. Negeri kita progresif, selamat dan penduduknya berbilang kaum. Kami tidak mahu satu gabungan yang bermusim, yang datang dan pergi.

“Oleh itu, yang paling penting ialah memilih dan mengenali rakan kongsi kita, bina kepercayaan dan perkongsian sejati. Kita tidak perlu tergesa-gesa untuk menerima parti baharu yang masih belum terbukti kesetiaan dan agenda sebenar mereka,” katanya.

Ongkili berkata fokus GRS ialah melindungi rakan kongsi asal dan mengukuhkan lagi perpaduan dalamannya.– BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *