HomeUtamaKesedaran Masyarakat Tentang Kepentingan Vaksin COVID-19 Amat Diperlukan

Kesedaran Masyarakat Tentang Kepentingan Vaksin COVID-19 Amat Diperlukan

Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU : Kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengambilan vaksin COVID-19 khususnya di Sabah amat penting dan diperlukan bagi memastikan diri termasuk golongan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dapat dilindungi .

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, ini kerana kadar penerimaan vaksin bagi dos penggalak dan kanak-kanak di negeri ini masih berada pada tahap yang rendah.

Katanya, pada ketika ini pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada pemberian suntikan dos penggalak dan vaksin kanak-kanak menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) yang dilaksanakan sejak awal Februari lalu.

“Sambutan terhadap kedua-dua dos itu dilihat masih rendah di Sabah dan perlu diatasi segera bagi memastikan masyarakat mendapat perlindungan antibodi yang sebaik mungkin untuk menghalang jangkitan teruk COVID-19.

“Justeru, pengambilan dos penggalak dan vaksin kanak-kanak juga adalah langkah sewajarnya dalam menghadapi kemasukan pelawat asing berikutan pembukaan sempadan negara mulai 1 April depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ahli Kumpulan Sokongan Susu Ibu (AKSSI) Sabah di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Pemakanan) JKNS Shahrulnaz Norhazli Nazri dan Pengerusi AKSSI Sabah Datin Malianah Ugau.

Rose Nani berkata, pemberian imunisasi dikalangan kanak-kanak yang akan memulakan sesi persekolahan pada 21 Mac ini juga amat perlu bagi memastikan mereka mendapat antibodi yang baik.

“Sekolah akan dibuka tidak lama lagi, anak-anak juga akan ke sekolah dan cara yang terbaik untuk memberi pelindungan kepada mereka ketika disekolah adalah dengan memberikan vaksin COVID-19 ini.

“Mungkin ada kalanya mereka membuka pelitup muka di sekolah, tetapi bila mereka divaksinasi sekurang-kurangnya pencegahan itu telah ada dalam diri mereka, maksudnya antibodi telah ada,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Rose Nani berkata, semua kes kematian akibat jangkitan COVID-19 yang direkodkan di Sabah ketika ini membabitkan pesakit yang tidak mengambil dos penggalak, manakala 50 peratus yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan meninggal dunia terdiri daripada mereka yang tidak pernah menerima vaksin.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular