Sabah FC Layak Ke Pusingan Kedua Piala FA

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU : Sabah FC tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan kedua saingan Piala FA apabila mudah menundukkan Respect FC 2-0 pada aksi pusingan pertama di Stadium Likas disini malam ini.

Bermula babak pertama, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee mula mencari peluang untuk mendahului perlawanan dengan beberapa percubaan ke gawang Respect FC namun dipatahkan oleh pertahanan pasukan pelawat.

Respect FC yang beraksi dalam kancah Liga M3 berjaya memperoleh sepakan percuma pada minit ke-33  namun percubaan Mohd Hafiz Kamal terus ke dakapan penjaga gol Sabah FC Damien Lim.

Pada minit akhir separuh masa pertama, Sabah FC diberikan sepakan percuma selepas Stuart John Wilkin dikasari pemain pelawat namun sepakan yang diambil Jackson De Souza tinggi melewati palang Respect FC.

Bersambung babak kedua, Sabah FC tidak menunggu lama untuk mendahului jaringan apabila Ummareng Bacok berjaya menanduk masuk gol pertama pasukannya pada minit ke-50 berpunca hasil hantaran Mohd Amri Yahyah.

Ummareng Bacok berjaya menjaringkan gol pertama Sabah FC

Sepanjang babak kedua, skuad kendalian S.Sathia hanya memperoleh satu peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan namun gagal menghasilkan gol selepas berjaya diselamatkan penjaga gol Sabah FC Damien Lim.

Meskipun bermain dalam cuaca hujan lebat, Sabah FC terus menambah derita pelawat apabila berjaya menambah gol kedua hasil jaringan Nazirul Naim Che Hashim pada minit ke-84 selepas menerima hantaran mudah daripada pemain import tuan rumah Park Taesu.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan bagi membolehkan Sabah FC layak ke pusingan kedua saingan Piala FA 2022.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *