KOTA KINABALU: Sabah akan menjalin kerjasama erat dengan Kedah untuk membangunkan idea produk baharu bagi mengembangkan industri pelancongan di kedua-dua negeri itu.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, kerjasama antara dua pihak perlu bagi memahami tingkah laku dan motivasi perjalanan ke sesebuah negeri.
“Kita mahu menarik seramai mungkin pengunjung domestik ke Sabah, oleh itu kita perlu tahu apa yang menjadi minat orang Kedah supaya kita boleh mewujudkan pakej mengikut keperluan mereka, dan begitu juga sebaliknya.
“Sabah dan Kedah juga sangat popular di kalangan pelancong antarabangsa. Jadi, adalah wajar untuk kita bekerjasama dengan Pelancongan Kedah dan pihak berkaitan untuk mencari jalan menarik lebih ramai pelancong asing terutama dari Langkawi ke Sabah,” katanya.
Joniston, yang juga pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), berkata pihak lembaga juga bekerjasama dengan negeri-negeri lain untuk mempromosikan destinasi masing-masing.
Katanya, STB turut terbuka untuk berkongsi kepakaran dan idea untuk menggiatkan semula industri pelancongan.
Pada Jumaat, pihak STB yang diwakili oleh Ketua Pegawai Pemasaran Tay Shu Lan telah menganjurkan majlis makan malam untuk delegasi daripada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah dan Pelancongan Kedah.
Sebelum itu, seramai 15 pegawai dari delegasi tersebut telah bertemu dengan pihak STB yang diketuai oleh Ketua Pegawai Kewangan Julinus Jeffery Jimit untuk perbincangan dan pertukaran idea.
Timbalan Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah (Pembangunan Sektoral), Faisal Rizal Mohammad berkata, objektif lawatan mereka adalah untuk mendapatkan pemahaman yang mendalam mengenai pengurusan strategik pihak STB.
“Kita berbincang untuk melakukan sesi libat urus dengan Pelancongan Sabah untuk membangunkan produk baharu bagi kedua-dua negeri dan melakukan promosi silang.
“Sebagai contoh, Kedah terkenal dengan sawah padi, manakala Sabah terkenal dengan laut yang indah. Kita melihat pertukaran produk sebegini penting untuk menarik pelawat dari negeri masing-masing.
“Selain itu, kita juga sedang membangunkan pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) di pulau-pulau Kedah iaitu Sonsong, Telur, dan Bidan. Tiga pulau ini mempunyai batu karang yang cantik.
“Oleh itu, kerajaan negeri Kedah mahu membantu komuniti setempat dalam menguruskan pulau-pulau supaya mereka dapat menjana pendapatan mampan melalui konsep CoBT,” katanya.
Tambah beliau, mereka berharap untuk belajar daripada pencapaian pihak STB dalam membangunkan CoBT dan mempromosikan pelancongan di pulau-pulau yang dilindungi di negeri ini.