HomeIsu tempatan21 Peserta Warga Tambunan Diperkenalkan Asas Memanah Tradisional

21 Peserta Warga Tambunan Diperkenalkan Asas Memanah Tradisional

Read Time:1 Minute, 45 Second

TAMBUNAN : Seramai 21 orang peserta berusia antara 13 hingga 60 tahun mengikuti program kelas asas memanah tradisional yang dianjurkan Rawja Archery dengan kerjasama Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu (KESATRIA), disini kelmarin.

Kelas asas memanah tradisional itu diadakan bertempat di Masjid Nurul Hidayah Kampung Monsok, di sini dengan bimbingan tiga orang jurulatih bertauliah dan enam orang pembantu jurulatih KESATRIA bermula dari jam 9 pagi sehingga 5 petang.

Presiden KESATRIA, Mohd Suhaimi Sapiee berkata kelas yang dikendalikan dibawah bimbingan pihaknya ini dibahagikan kepada dua sesi kelas.

“Sesi pertama kelas merupakan sesi teori memanah tradisional selama satu jam tiga puluh minit dan kemudian diteruskan dengan lima jam sesi praktikal.

“Ia dimulai dengan cara membuka dan memasang tali busur, adab membuka dan menutup busur sebelum dan selepas memanah, memanah statik, tujuh langkah memanah, memanah dalam pelbagai posisi dan memanah dinamik sehingga selesai,” katanya.

Suhaimi berkata, pihaknya gembira dengan perkembangan pesat aktiviti memanah tradisional yang semakin mendapat sambutan menggalakkan sejak kebelakangan ini khususnya di institusi masjid di negeri Sabah yang gigih membangunkan aktiviti sunnah memanah di masjid masing-masing.

“Ini selaras dengan usaha ke arah pembentukan Persatuan Memanah Tradisional Negeri Sabah yang telah diusahakan Kesatria sejak 2017 lagi. Ini seterusnya akan membentuk Persatuan Memanah Tradisional Malaysia melalui gabungan enam persatuan negeri di Malaysia kelak.”

“Kelas asas memanah tradisional yang dirangka KESATRIA ini dilaksanakan mengikut silibus khusus dimana kesemua peserta wajib melengkapkan keseluruhan sesi sebelum layak diberikan sijil Asas Memanah Tradisional,” katanya dalam satu kenyataan media disini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Nurul Hidayah, Raju Uddin Mohd Ajay berkata pihaknya melihat aktiviti memanah tradisional ini mampu menjadi salah salah satu medium berdakwah di samping menarik orang ramai khususnya golongan belia untuk lebih aktif mengikuti aktiviti anjuran masjid.

“Pihak kita juga berhasrat untuk membeli peralatan memanah bagi kegunaan kariah masjid yang berminat dan seterusnya akan menubuhkan kelab memanah tradisional berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan Negeri Sabah yang pertama di daerah Tambunan dengan bimbingan dari Kesatria.

“Pihak kami berterima kasih kepada Presiden KESATRIA, jurulatih dan pembantu jurulatih kelab yang hadir bagi menjayakan kelas asas memanah tradisional ini. Sekurang-kurangnya kami telah bermula dengan betul,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

58 beg darah berjaya dikutip, bantu pesakit memerlukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular