Sabah Sasar RM1.2 Bilion Hasil Dikutip Melalui Projek Penanaman Kelapa

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 24 Second

BELURAN: Sebanyak RM1.2 bilion setahun dijangka akan dapat dikutip menerusi projek penanaman kelapa berpenghasilan tinggi yang dilaksanakan menerusi inisiatif Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di Paitan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, menerusi projek itu juga ianya akan dapat menyediakan lebih 4,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Katanya, projek yang bernilai RM400 juta itu dilaksanakan di kawasan seluas 2,000 hektar termasuk pembinaan kilang pemprosesan produk berasaskan kelapa.

“Menerusi projek itu, kerajaan negeri turut memegang 30 peratus kepentingan dalam projek yang dikendalikan syarikat tempatan dari Selangor, Linaco Resources Sdn Bhd.

“Apabila beroperasi sepenuhnya pada 2026, pelaburan projek kelapa berpenghasilan tinggi ini disasar menyediakan sebanyak 4,400 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Ladang Kelapa Linaco (Inisiatif Pelaburan Hala Tuju SMJ) disini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dan Pengarah Eksekutif Linaco, Joe Ling.

Hajiji berkata, projek itu juga mampu memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

Katanya, ianya juga akan dapat mengubah keadaan Paitan selain memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di daerah ini dan sekitarnya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus melaksanakan agenda pembangunan untuk membawa kemajuan kepada negeri dan rakyatnya.

“Menerusi Belanjawan 2022, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM561.81 juta untuk sektor pertanian yang menjadi antara tiga bidang yang diberi tumpuan dalam SMJ,” katanya.

Katanya, SMJ yang mencapai usia setahun pada 29 Mac ini sudah melakar pelbagai kejayaan dalam usaha menarik pelaburan ke Sabah walaupun berdepan banyak cabaran termasuk pandemik COVID-19.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *