MAFI Akan Pastikan Keperluan Asas, Infrastuktur Perkampungan Nelayan Terjaga

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 41 Second

BELURAN : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan sentiasa memastikan keperluan asas dan infrastuktur perkampungan nelayan seluruh negara terus terjaga.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia termasuklah menjaga kebajikan selain memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi dan mengurangkan bebanan nelayan.

“MAFI akan terus melihat keperluan kemudahan asas dan infrastruktur lain yang diperlukan oleh kampung-kampung nelayan seluruh negara.

“Selain itu, pihak kementerian juga  akan membawa kepada perhatian Kementerian Kewangan untuk permohonan dana-dana tambahan bagi memastikan semua inisiatif yang di laksanakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jelajah Nelayan Beluran dan merasmikan titian nelayan di Kampung Keniogan, Beluran disini hari ini.

Titian nelayan itu siap pada 13 Mac 2022 yang mana projek ini telah bermula pada 4 Mei 2021 dengan kos keseluruhan bernilai RM 1 juta.

Dr Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata,  Kerajaan melalui LKIM juga sentiasa memainkan peranan yang penting dan berkesan dalam menjaga kebajikan para nelayan.

Katanya, projek titian konkrit itu akan memberikan lebih keselesaan kepada semua penduduk di Kampung Keniogan khususnya golongan nelayan memandangkan keadaan titian yang lama telah usang dan tidak lagi sesuai untuk digunakan.

“Selain itu, bagi membangunkan infrastruktur jeti sedia ada, tiga lokasi lain juga telah dibaik pulih sebelum ini iaitu di Jeti Kampung Muanad II, Jeti Kampung Seri Menanti dan Jeti Kampung Keramat.

“Sebanyak 18 lagi jeti dan titian di sekitar kampung-kampung nelayan di Beluran sedang dalam perancangan LKIM untuk dibaikpulih, dinaiktaraf serta bina baharu yang akan memberi kemudahan pendaratan ikan yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Dr Ronald berkata, Kerajaan sentiasa menyediakan peruntukan bagi membangunkan pelbagai kemudahan dan inisiatif untuk nelayan termasuk kemudahan infrastruktur seperti pelabuhan perikanan, kompleks-kompleks pendaratan ikan, jeti-jeti dan lain-lain lagi di seluruh negara.

Katanya, sehingga kini LKIM telah membina sebanyak 46 buah kompleks pendaratan ikan dan kemudahan seumpama ini banyak membantu nelayan mendaratkan dan memasarkan hasil tangkapan ikan.

“Di Sabah, LKIM dalam kajian kesesuaian tapak untuk membina sebuah kompleks pendaratan ikan moden di tapak tanah LKIM di Sandakan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *