HomeUtamaDUN Sabah : Saya Tumbuk Meja, Keluar Bilik Rundingan - Masidi

DUN Sabah : Saya Tumbuk Meja, Keluar Bilik Rundingan – Masidi

Read Time:1 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU :  Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun bertegas tidak akan berlembut dalam soal menuntut hak Sabah.

Beliau turut memberi jaminan akan memastikan misi untuk mengembalikan hak Sabah terhadap minyak dan gas akan mencapai kejayaan yang dikehendaki rakyat negeri ini.

“Saya akan tumbuk meja jika tidak puas hati dalam rundingan berkaitan tuntutan minyak dan gas Sabah dan saya sanggup keluar bilik rundingan.

“Pasal gas jangan risau. Walaupun saya ini orang kampung, orang Dusun atau orang bukit dari Ranau saya akan pasti mempertahankan hak Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Mohd Shafie bertanya mengenai usaha kerajaan negeri dalam memastikan hak minyak dan gas Sabah benar-benar dikembalikan kepada negeri ini seperti yang dituntut menerusi rundingan dengan PETRONAS.

Sebagai ketua pasukan rundingan kerajaan negeri dalam perundingan berkaitan hak minyak dan gas dengan kerajaan Pusat dan PETRONAS, Masidi berkata, hasil ketegasan kerajaan negeri, PETRONAS bersetuju membangunkan fasiliti minyak dan gas terapung di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Katanya, projek itu akan dilaksanakan pada tahun ini seperti yang sudah dipersetujui.

“PETRONAS sudah bersetuju membina fasiliti ini di SOGIP, tiada toleh-toleh lagi dan insyaAllah akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu, satu lagi soalan tambahan berkaitan kerahsiaan rundingan dengan PETRONAS oleh Datuk Yong Teck Lee (ADUN Dilantik), Masidi menjelaskan perkara itu adalah kelaziman dalam amalan perniagaan.

Masidi berkata, kerahsiaan itu hanya berlaku ketika perundingan masih dijalankan tetapi isi rundingan akan terdedah dengan sendirinya apabila perkara yang dirundingkan berjaya dan menjadi kenyataan.

“Contohnya kita diberi hak ambil alih ekuiti syarikat PETRONAS, apabila sampai kita ambil alih ia akan didedah kepada orang ramai, tapi memandangkan ada saingan dalam perniagaan, ia dirahsiakan ketika rundingan.

“Namun, satu demi satu akan didedahkan juga kepada awam apabila tiba masanya. Itu niatnya kerahsiaan itu, bukan tidak mahu beritahu atau ada sesuatu yang kita mahu sembunyikan, tiada niat seperti itu,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

FCDO  jamin teliti permintaan Sabah tarik semula larangan perjalanan ke Pantai...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular