HomeUtamaMAFI Sasar Capai Tahap Sara Diri Beras Dalam Dua Dokumen Dasar Utama

MAFI Sasar Capai Tahap Sara Diri Beras Dalam Dua Dokumen Dasar Utama

Read Time:1 Minute, 39 Second

KUALA LUMPUR : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan untuk mencapai Tahap Sara Diri (SSL) beras dalam dua dokumen dasar utama.

Antaranya adalah menerusi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) masing-masing pada kadar 75 peratus dan 80 peratus.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, tumpuan MAFI secara khususnya adalah untuk meningkatkan penghasilan padi domestik.

Katanya, ini adalah penting bagi memperkukuhkan sekuriti bekalan makanan dan tahap sara diri beras negara, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara berhadapan dengan pengurangan kawasan bertanam padi saban tahun, pertambahan populasi dan pandemik COVID-19.

“Justeru, antara langkah yang diambil oleh MAFI untuk meningkatkan tahap SSL negara termasuklah Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang merupakan hala tuju baharu MAFI dalam menyatukan tanah sawah secara pertanian kontrak atau sewaan melalui satu sistem pengurusan bagi mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil lepas tuai.

“Selain itu, MAFI turut melaksanakan program Site-Specific Nutrient Management (SSNM) iaitu pembajaan yang diformulasikan mengikut kadar keperluan sebenar tanaman padi dan profil kesuburan tanah secara lokasi spesifik,” katanya di Dewan Negara disini hari ini.

Dr Ronald berkata, kementeriannya turut menggalakkan program mekanisasi dan automasi agromakanan seperti penggunaan jentera, teknologi berasaskan Internet of things (IoT) dan implemen berkaitan bagi memudahkan kesemua proses kerja di sepanjang rantaian nilai.

Katanya, SSL turut ditingkatkan dengan mempergiat aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) bagi menjamin kemampanan pengeluaran beras negara dengan menghasilkan varieti/ benih berhasil tinggi dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim serta mesra alam.

“MAFI turut membangunkan sistem SMART Padi iaitu sistem pangkalan data bersepadu merangkumi sistem-sistem padi dan beras sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Dr Ronald berkata, ini adalah selaras dengan penekanan strategi sub-sektor padi dan beras dalam DAN 2.0 untuk meningkatkan produktiviti melalui pengurusan sumber yang cekap dan model baharu kawasan jelapang padi bagi memastikan jaminan sekuriti makanan negara sepanjang masa dan meningkatkan pendapatan pesawah.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular