KOTA KINABALU: Sabah tetap akan menuntut 40 peratus hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan dari negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, rundingan akan terus dilaksanakan kerana ia merupakan asas tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Perkara ini menjadi keutamaan kita dan walau apapun yang disebut di persekutuan, perkara ini kekal menjadi asas tuntutan kita dalam MA63.
“Kerajaan Sabah akan terus menuntut 40 peratus kutipan cukai dari negeri ini, ini adalah pendirian kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Jabatan Ketua Menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.
Hajiji berkata demikian bagi mengulas pendirian berkenaan perkara tersebut ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN – Senallang) mengenai kenyataan Menteri Kewangan Persekutuan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang sebelum ini dilapor mengatakan peruntukan 40 peratus itu tidak lagi wujud.
Hajiji berkata perkara itu adalah pandangan kerajaan persekutuan tetapi kerajaan negeri berpendirian ia masih hak Sabah dan perlu terus dituntut bersama perkara lain yang tersenarai dalam tuntutan MA63.
“Kita tidak pernah menggugurkan tuntutan mengenai perkara ini, sebaliknya kita akan terus menuntut sehingga kita dapat apa yang dijanjikan dalam semangat MA63,” katanya.