HomeIsu tempatanFPP UMS Jayakan Majlis Penutupan e-Mobiliti Asia Tenggara 2022

FPP UMS Jayakan Majlis Penutupan e-Mobiliti Asia Tenggara 2022

Read Time:1 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU: Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan 85 pelajar antarabangsa dari sembilan buah universiti negara Asia Tenggara dalam Majlis Penutupan Program e-Mobiliti Semester 1 Sesi 2021/2022 secara dalam talian, baru-baru ini.

Empat buah negara Asia Tenggara yang mengikuti program tersebut adalah Indonesia, Filipina, Kemboja dan Vietnam.

Profesor Dr. Sabariah Sharif, yang menjalankan fungsi sebagai Dekan FPP berkata, meskipun aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka tidak dapat dijalankan akibat pandemik COVID-19, namun FPP berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti secara maya.

“Kursus-kursus akademik FPP yang terlibat dalam Program e-Mobiliti kali ini adalah Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), Pembangunan Belia dan Komuniti, Psikologi Kanak-kanak dan Keluarga, Pendidikan Awal Kanak Kanak, Psikologi Industri dan Organisasi, Psikologi Kaunseling, Sains Sukan serta Pendidikan dengan Sains,” jelasnya.

Majlis yang berlangsung selama dua jam itu diisi dengan pelbagai pengisian termasuk juga ucapan aluan jemputan khas, ucapan wakil pelajar, tayangan video korporat UMS dan ‘Kenali Sabah’ serta penyampaian e-sijil kepada peserta.

Sementara itu, Naib Rektor Hubungan Antarabangsa dan Penyelidikan, Universiti Antarabangsa Phnom Penh, Dr. Ky Ravikun berkata penglibatan universiti dalam program seumpama ini memberikan banyak manfaat kepada pelajar-pelajarnya sekali gus membuka ruang untuk mengambil langkah lebih proaktif dalam mengeratkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama dengan universiti di Asia Tenggara.

Turut serta dalam program maya itu adalah Pengarah Direktorat Hal Ehwal Antarabangsa, Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Dr. Ahmad Bukhori Muslim dan Dekan Kolej Sastera dan Sains Sosial, Universiti Negeri Luzon Tengah, Dr. Jay Claus Santos yang masing-masing mahu adanya Memorandum Persefahaman (MoU) bersama FPP dan menjemput FPP untuk mengadakan program mobiliti di universiti mereka.

Bagi salah seorang peserta dari Institut Agama Islam Negeri Salatiga Indonesia, Dinar Queentina berasa teruja dengan amalan ketetapan masa dalam PdP dan maklum balas dan bimbingan yang mesra daripada tenaga pengajar FPP.

Beliau juga turut tertarik dengan perbincangan dan pembentangan kumpulan yang berjaya dilaksanakan walaupun aktiviti itu dianggap mencabar kerana perbincangan bersama ahli kumpulan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian di peringkat antarabangsa.

Seorang lagi peserta dari Universiti Negeri Luzon Tengah, Joel D. menyatakan kegembiraan beliau kerana dapat berkomunikasi serta berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan rakan dari pelbagai negara dan berharap agar berkesempatan untuk belajar secara bersemuka dalam program mobiliti pada masa hadapan.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular