Dokumentari ‘Menarik di Sabah..Orang Kita Bah’ mampu promosi keunikan etnik Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU : Penerbitan dokumentari televisyen bertajuk ‘Menarik di Sabah.. Orang Kita Bah’ mampu mempromosikan keunikan budaya etnik Sabah menerusi media percetakan, elektronik dan maya.

Menteri Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin berkata, penerbitan dokumentari itu melibatkan penggambaran video dokumentari sebanyak 16 episod yang melibatkan 30 etnik di negeri ini.

Katanya, antara etnik yang terlibat dalam dokumentari itu ialah etnik Orang Sungai (Sandakan), Suluk, Tatana, Tobilung, Brunai, Bannaran, Idahan, Rungus, Tombonuo, Sukang, Murut, Bisaya, Sandayo dan Begak.

Selain itu, etnik lain yang turut terlibat adalah  Dumpas, Tidung, Molbog, Gobukon, Dusun Bundu, Dusun Bonggi, Suang Lotud, Iranun, Dusun Subpan, Kimaragang, Dusun Kujau, Lundayeh, Bajau Sama (Tuaran), Tinagas, Bajau Laut dan Dusun Tindal.

“Manakala, pengisian segmen yang bakal dimasukkan meliputi cara hidup, bahasa, seni bina rumah, tarian, alat muzik, pakaian tradisional, kraf tangan serta destinasi pelancongan setiap bandar di Sabah.

“Penerbitan dokumentari ini juga akan dapat menarik minat dan tumpuan masyarakat Malaysia berkaitan Sabah khususnya kebudayaan etniknya.

“Selain itu, ia juga akan menjadikan keunikan budaya sebagai daya tarikan utama kepada pelancong luar dan dalam negara untuk berkunjung ke negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandun Persefahaman (MoU) diantara Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dan DRH Ventures Sdn Bhd bagi melaksanakan penerbitan dokumentari berkenaan.

Cadangan mengadakan kerjasama itu telah bermula sejak tahun lalu dan kedua-dua pihak bersetuju bagi menterjemahkan niat kerjasama dalam bentuk MoU yang ditandatangani semalam.

Antara keunikan kerjasama ini ialah penglibatan 80 peratus tenaga kerja produksi daripada rakyat Sabah sepanjang pembikinan dokumentari ini.

Ini bermakna, kerjasama ini membuka peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Sabah untuk terlibat secara langsung dalam penerbitan filem.

Sementara itu, Jafry berkata, selain filem dokumentari Televisyen, penerbitan buku meja kopi turut akan dilakukan yang disasarkan untuk diedarkan ke Pejabat Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) melalui pejabat Kedutaan Malaysia di luar negara.

Katanya, dengan kaedah tersebut, maklumat pelancongan budaya di Sabah dapat disebarluaskan sehingga ke pelosok dunia.

“Bagi memastikan budaya etnik yang dipaparkan dalam dokumentari ini adalah sahih, badan-badan kebudayaan khususnya persatuan etnik akan dilibatkan secara langsung sepanjang penggambaran dokumentari ini.

“Dengan kaedah tersebut, badan-badan kebudayaan turut sama mendapat limpahan faedah daripada kerjasama kedua-dua pihak tersebut,” katanya.

Katanya, kerjasama penerbitan dokumentari ini akan menyaksikan pegangan hak cipta secara bersama (secara sama rata) iaitu 50 peratus kepada LKNS dan 50 peratus DRH Venture Sdn. Bhd.

“Kedua-dua pihak komited untuk menghasilkan video dokumentari yang berkualiti tinggi bukan sahaja untuk tayangan dalam negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa iaitu National Geographic.

“Adalah diharapkan agar dengan termeterainya perjanjian persefahaman ini dapat menyumbang ke arah pemuliharaan kebudayaan pelbagai etnik dan seterusnya menyumbang kepada inisiatif Pelancongan Budaya Bersepadu di bawah Sabah Maju Jaya,” katanya

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *