HomeUtamaLima kes dikesan sepanjang Ops Pantau 2022

Lima kes dikesan sepanjang Ops Pantau 2022

Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU : Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah berjaya mengesan lima kesalahan membabitkan nilai kompaun sebanyak RM2,200 sepanjang pelaksanaan Ops Pantau 2022.

Pengarahnya, Georgie Abas berkata, Ops Pantau 2022 yang dilaksanakan bermula 3 April lalu turut memeriksa sebanyak 614 premis perniagaan di seluruh negeri.

Katanya, pemeriksaan di bawah Ops Pantau 2022 itu antara lain memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang (aduan harga tinggi, unsur pencatutan) dan jualan murah.

“Selain itu, turut difokuskan adalah alat timbangan, penjualan barang tiruan atau cetak rompak, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), halal dan pematuhan SOP Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“KPDNHEP Sabah juga akan mempertingkatkan keberadaan hampir 200 anggota penguatkuasa di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pengguna bagi mewujudkan persekitaran perniagaan dan beli-belah yang selamat dan beretika,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Georgie berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan dan pemantauan pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri menerusi Ops Pantau 2022.

Katanya, Ops Pantau 2022 bertujuan bagi memastikan pengguna berada dalam keadaan yang selesa dan mudah mendapatkan bekalan makanan serta keperluan harian pada harga yang munasabah.

Menurutnya, ia juga adalah bagi memastikan tiada unsur pencatutan yang dilakukan peniaga dalam penetapan harga barangan dan perkhidmatan mereka.  

“Di samping premis-premis tradisi seperti pasar basah, pasar tani, pasar malam, pasaraya, hypermarket dan kedai runcit, Ops Pantau 2022 akan mempergiatkan pemantauan dan pemeriksaan meliputi Bazar Ramadan,  Kedai Makan yang menjual juadah berbuka puasa dan Bazar Aidilfitri di seluruh negara.

“KPDNHEP tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan siasatan dan semakan harga jika terdapat aduan yang banyak terhadap sesebuah premis atau gerai.

“Siasatan itu akan melibatkan semakan terhadap harga bahan mentah dari pembekal, kos pembuatan, kos operasi dan harga di peringkat pengeluar dan pemborong,” katanya.

Katanya, tindakan sewajarnya akan diambil jika peniaga didapati bersalah menyorok barang kawalan dan mencatut seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.

Dalam pada itu, Georgie berkata, KPDNHEP Sabah ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar terus mematuhi segala perundangan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan terutama sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas oleh pihak penguat kuasa Kementerian.

“Pengguna juga disarankan untuk merancang perbelanjaan serta memiliki pengetahuan berkenaan kedudukan harga barang bagi mengelakkan daripada dimanipulasi oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji terima kunjungan hormat Penasihat Komuniti Puisi Esei Asean Denny JA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya