TAMPARULI: Lebih 30 peserta sekitar daerah Tuaran telah mendaftar bagi menyertai sesi saringan Sugandoi Kaamatan Peringkat daerah Tuaran 2022 pada 24 April ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran 2022 Herman Tunggiging berkata, saringan berkenaan akan diadakan di Dewan Datuk Patrick Jilan Kampung Selupoh Tuaran bermula jam 10 pagi.
“Kita jangkakan jumlah ini akan meningkat terutamanya kategori Sugandoi Terbuka, yang kebiasaanya ramai peserta.
“Pada tahun ini sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Dazanak, Songkotoun dan kategori Terbuka,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Herman yang juga Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tamparuli berkata, tiga juri profesional terdiri dalam kalangan artis dan pemuzik tempatan akan memilih finalis seramai lapan orang bagi setiap kategori.
“Manakala pada final nanti, masyarakat berpeluang menyaksikan persembahan komposer dan penyanyi tersohor, Benn Simon Bukag,” katanya.
Justeru, beliau menjemput orang ramai, terutamanya peminat seni hiburan tempatan, untuk memeriahkan kedua-dua acara tersebut, sambil menyokong bakat-bakat seni tempatan yang bakal mewakili daerah Tuaran.
Pautan Borang Pendaftaran: https://forms.gle/XPdjCBNCUi8aVne76