KOTA KINABALU : Sabah berjaya merekodkan seramai 227,000 pengunjung yang tiba ke negeri ini sehingga Februari lalu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin berkata, jumlah itu berdasarkan rekod yang diperolehi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) disemua pintu masuk utama di negeri ini.
“Setakat Februari tahun ini, kita telah menerima kedatangan pengunjung seramai 227,000 orang yang tiba disemua pintu masuk ke Sabah. Jumlah ini adalah berdasarkan rekod yang dikeluarkan JIM.
“Pada hujung minggu ini, kita akan menerima satu penerbangan terus AirAsia dari Singapura dan pada hujung bulan penerbangan Scoot Airlines juga akan tiba ke negeri ini selain Brunei Airlines pada bulan depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa kementeriannya di sini semalam.
Hadir sama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai.
Jafry berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan bersama beberapa syarikat penerbangan dari Korea bagi melaksanakan penerbangan ke negeri ini.
“Saya difahamkan dimana Pembantu Menteri akan ke Korea bagi mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan untuk membawa para pelancong negara itu untuk datang ke Sabah.
“Kita kekal optimis bahawa pasaran pelancongan dari China dan Korea Selatan yang membentuk majoriti pelawat antarabangsa ke negeri ini boleh dimanfaatkan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut mensasarkan seramai satu hingga 1.5 juta pengunjung dan pelancong akan tiba ke negeri ini selain turut yakin sektor pelancongan akan kembali stabil.