KOTA KINABALU : Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah telah membuka bazar Ramadan di tiga buah lokasi sekitar bandar raya Kota Kinabalu pada tahun ini.
Pengarah FAMA Sabah Ribin Wahid berkata, semua lokasi bazar Ramadan yang dibuka adalah melibatkan seramai 112 orang peniaga.
“Pada tahun ini, FAMA Sabah telah melaksanakan bazar Ramadan di tiga lokasi iaitu di Asia City melibatkan 70 orang peniaga dan bazar Ramadan Taman Putera Jaya Telipok yang melibatkan 16 orang peniaga.
“Selain itu kita juga membuka bazar Ramadan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang melibatkan seramai 26 orang peniaga terlibat,” katanya dalam kenyataan disini baru-baru ini.
Ribin berkata, pelaksanaan bazar Ramadan UMS telah dilaksanakan untuk kali kelima bermula 2016 namun terhenti pada 2020 dan 2021 akibat wabak pandemik COVID-19 namun disambung semula pada tahun ini.
“Pada tahun 2016, jumlah jualan tahunan bazar Ramadan UMS adalah sebanyak RM402,212.30 yang dilaksanakan di Anjung Siswa UMS manakala pada 2017, jumlah jualan adalah sebanyak RM263,000.
“Bagi tahun 2018 pula, jumlah jualan adalah sebanyak RM253,030 dan sebanyak RM490,003 berjaya direkodkan pada tahun 2019,” katanya.
Katanya, perbezaan jumlah jualan tahunan yang ketara adalah disebabkan faktor lokasi yang mudah dikunjungi pelanggan.
Sementara itu, Ribin berkata, objektif bazar Ramadan FAMA adalah untuk memudahkan pelanggan mendapatkan juadah berbuka puasa dengan pelbagai jenis masakan tempatan Sabah dan dari negeri-negeri lain serta kaedah penyediaan menu masakan dalam keadaan yang bersih dan selamat.
Katanya, ianya juga adalah untuk membantu mengawal harga pengguna agar terkawal dan seterusnya dapat mengawal kadar inflasi.
”Selain itu juga bazar ini dapat memberi peluang kepada usahawan untuk berniaga dan mendapat tempat yang diluluskan oleh kerajaan,” katanya.