KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan bahawa geran khas RM125.6 juta untuk Sabah akan digunakan untuk membina sejumlah 1,500 unit Rumah Mesra SMJ di semua 73 DUN.
Beliau berkata, Rumah Mesra SMJ yang sebelum ini dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin atau PPRT (Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar) akan diagihkan secara merata ke semua kawasan di Sabah.
“Keputusan ini selaras dengan inisiatif Haja Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) Kerajaan Negeri untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan mereka akan mendapat akses kepada rumah mampu milik.
“Lebihan dana daripada peruntukan itu akan digunakan untuk membaiki jalan, jambatan gantung dan infrastruktur lain serta harta benda yang rosak akibat banjir,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin Bersatu Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Rabu.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Hajiji dalam satu kenyataan bersama menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk meningkatkan pemberian khas tahunan bagi Sabah sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta mulai tahun ini.
Hajiji berkata ia adalah permulaan yang baik untuk Sabah sambil memastikan dana itu akan digunakan dengan baik untuk manfaat rakyat dan negeri.
Pada masa sama, beliau berkata Kerajaan Negeri GRS-BN berazam untuk mengejar lebih banyak lagi melalui rundingan yang masih berjalan bagi mendapatkan 40 peratus seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Hajiji yang juga Ketua Bersatu Sabah berkata, ini adalah antara banyak kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Negeri GRS-BN hanya selepas tiga tahun memerintah.
Antara yang hadir ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II yang juga Timbalan Ketua Bersatu Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, Setiausaha, Datuk Mohd Razali Mohd Razi, Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif yang juga Bendahari Bersatu Sabah, Ketua Penerangan Firdaus Akhbar Khan, Ketua Pemuda (Armada), Fairuz Renddan dan Ketua Wanita (Seri Kandi), Datuk Azizah Dun yang juga wakil rakyat.