KOTA KINABALU : Proses pembaikan paip yang bocor di Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) pagi tadi kini sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap pada jam 8 malam ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, kejadian yang berlaku jam 10.58 pagi tadi itu melibatkan paip air ke tangki utama bocor dan mengakibatkan limpahan air di stor unit sajian dan ruangan linen Sedafiat aras bawah tanah HQE2.
“Langkah segera yang telah diambil oleh pihak HQE2 dan syarikat konsesi adalah pemasangan paip pintasan dan kejadian paip bocor ini adalah dalam keadaan terkawal.
“Limpahan air di aras bawah tanah HQE2 sudah dibersihkan, manakala proses pembaikan paip bocor sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap pada jam 8 malam hari ini,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.
Dr Rose Nani berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, semua pembedahan bukan kecemasan (elektif) hari ini telah ditangguhkan dan hanya pembedahan kecemasan dijalankan sehingga paip selesai dibaiki.
Katanya, perkhidmatan rawatan kesihatan lain di HQE 2 sedang beroperasi seperti biasa.
“Pihak HQE2 dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sedang bertungkus-lumus untuk menyelesaikan masalah paip bocor ini dan akan memastikan perkhidmatan rawatan kesihatan tidak terjejas,” katanya.