Jabatan Penguatkuasaan DBKK Jalankan Op Degil (COS/SOS) Bagi Individu Atau Syarikat Kotorkan Sekitar Bandaraya

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak 667 kompaun serta merta ‘Compound On The Spot’ (COS) telah dikeluarkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu operasi bermula bulan Januari 2022 sehingga 31 Mac 2022 bagi individu atau syarikat yang mengotorkan dan membuang sampah di tempat awam di sekitar kawasan bandaraya di sini.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, DBKK melalui Jabatan Penguatkuasaan telah menjalankan Op Degil (Compound On The Spot – COS / Summon On The Spot- SOS) di seluruh kawasan bandaraya Kota Kinabalu terutamanya di taman-taman awam dan tempat-tempat awam.

“Op Degil (COS/SOS) dijalankan setiap hari bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan bandaraya dan juga memberi pengajaran kepada individu-individu yang mengotorkan persekitaran bandaraya.

“Sasaran operasi ini adalah kepada individu atau syarikat yang mengotorkan atau membuang sampah di tempat awam dan kesalahan yang selalu ditemui seperti membuang puntungan rokok, tisu, botol minuman dan bekas makanan,”kata Noorliza dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Noorliza, di bawah punca kuasa Undang-Undang Kecil (UUK) Bandaraya Kota Kinabalu (Anti Sampah Sarap) 1984 Pindaan 2005, pesalah akan diberi pilihan sama ada membayar kompaun serta merta ‘Compound On The Spot’ (COS) tidak kurang dari RM30 dan tidak lebih dari RM500 mengikut jenis dan jumlah sampah yang dibuang atau hadir di mahkamah ‘Summon On The Spot’ (SOS).

“Jika pesalah disabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau dihukum Perintah Kehadiran Wajib (PKW) dengan melakukan kerja-kerja masyarakat 4 jam sehari dalam tempoh tidak lebih 3 bulan,” tegasnya.

Bermula dari tahun 2016 hingga tahun 2022, seramai 691 pesalah telah dihadapkan ke mahkamah (SOS).

Noorliza turut mengingatkan kepada orang awam untuk sama-sama menjaga kebersihan persekitaran bandaraya Kota Kinabalu.

“Op Degil (COS/SOS) ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan masyarakat sentiasa peka dan mengambil berat dalam menjaga kebersihan persekitaran bandaraya yang tercinta ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *