COVID-19 : Kes jangkitan kekal dua angka

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU : Keadaan jangkitan COVID-19 di semua daerah di Sabah kekal stabil meskipun merekodkan sebanyak 83 kes yang dilaporkan pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, meskipun berlaku pertambahan jumlah kes jangkitan sebanyak empat namun ianya masih dibawah paras angka 100.

“Sebanyak 13 daerah merekodkan pertambahan jumlah jangkitan baharu berbanding sembilan daerah yang mencatatkan penurunan kes.

“Kecuali Kota Kinabalu yang mencatat penurunan 13 kes tidak ada perubahan angka yang signifikan di daerah-daerah lain, samada bertambah atau berkurangan,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, lima daerah mencatatkan jumlah yang sama seperti jumlah semalam.

Katanya, adalah diperingatkan bahawa kadar jangkitan sporadik masih tinggi dan hari ini sebanyak 54.2 peratus daripada semua kes baharu.

“Elak daripada lalai mematuhi semua prosedur standard operasi (SOP). Kejayaan kita melawan pandemik banyak bergantung kepada sikap masyarakat sendiri.

“Dua daerah mencatatkan kes baharu dua angka hari ini, iaitu Kota Kinabalu 13 kes (-13) dan Sandakan 10 kes (+4).

“Sebanyak 16 daerah lagi mencatatkan kes satu angka dengan 13 daripada daerah-daerah tersebut mencatat antara satu  hingga lima kes baharu,” katanya.

Katanya, tidak ada kes baharu di sembilan daerah iaitu Tambunan, Kuala Penyu, Telupid, Sipitang, Pitas, Beaufort, Tongod, Kalabakan dan Putatan.

“Seramai 80 orang daripada 83 pesakit baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2, dua pesakit dalam Kategori 4 dan seorang pesakit dalam Kategori 5.

“Tidak ada pesakit dilaporkan dalam Kategori 3,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *